Futsal AFF 2015 bermula 8 Oktober

Futsal AFF 2015 bermula 8 Oktober

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Negara Brunei Darussalam telah diundi bersama Thailand, Malaysia, Singapura dan Timor Leste dalam Kumpulan A, Kejohanan Futsal AFF 2015 di Bangkok, Thailand dari 8 hingga 16 Oktober 2015 nanti.

Sehubungan dengan itu, seramai 56 pemain futsal daripada 12 pasukan Liga Futsal Brunei (BFL) 2015 yang telah dikenalpasti bakat dan kemahiran bermain futsal mereka di sepanjang berlangsungnya BFL2015 telah dipanggil untuk menyertai Sesi Pemilihan Awal Pertama.

Mereka terdiri daripada empat pemain MS ABDB, enam pemain Arbisyam FC, lima pemain BSRC FT, tiga pemain Riz Fiz FT, 16 pemain Shah United FC, dua pemain Street United FT, tiga pemain PBDB FT, tiga pemain Mixed Star FT, tiga pemain Pega Star FT, tiga pemain Syahkampong, enam pemain Kota Junior dan dua pemain Silveredz FT.

Pemain terpilih bersama pengurus pasukan masing-masing telah dipanggil ke NFABD House malam semalam bagi sesi perjumpaan dengan para pegawai NFABD yang telah diberikan tanggungjawab dan amanah untuk membina sebuah pasukan futsal kebangsaan khusus bagi Kejohanan Futsal AFF 2015 berkenaan.

Sesi pemilihan awal pertama yang akan diadakan pada 14 Ogos bermula jam 8 pagi di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu adalah bagi memilih dan menyenaraipendekkan 25 orang pemain sahaja. – Hasrulraizan

Kalangan pemain BFL yang dipanggil untuk mengikuti sesi pemilihan awal pertama bagi mewakili Brunei Darussalam ke Kejohanan Futsal AFF 2015 di Thailand.
Kalangan pemain BFL yang dipanggil untuk mengikuti sesi pemilihan awal pertama bagi mewakili Brunei Darussalam ke Kejohanan Futsal AFF 2015 di Thailand.