Futsal Piala Perdana Ahad ini

Futsal Piala Perdana Ahad ini

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Sepak mula Futsal Piala Perdana TelBru 2015 akan dilancarkan pada 9 Ogos 2015 nanti pada jam 8 malam di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) yang menyaksikan satu perlawanan akan dilangsungkan tertakluk kepada undian yang akan dijalankan malam itu.

Satu perlawanan yang berkemungkinan berlangsung malam itu ialah Samba FT lawan BMB FT, 1st Five lawan PES, Hi-Tune SC lawan Creativol, NJP FT lawan BIO FT, Star Madang lawan LSCB, Kilugos FC lawan Eagle Blues, Kota Ranger FT lawan MBS Utd FC, Azmainshah lawan J.W. FT, Hawa FT lawan TelBru atau XII Brothers lawan DST FC.

Sejumlah 20 pasukan yang telah dibahagikan kepada lima kumpulan akan berentap untuk merebut dua slot ke Futsal Liga Super 2016 dan enam slot ke Futsal Liga Perdana 2016 akan menyertai Futsal Piala Perdana TelBru 2015 berkenaan.

Kumpulan A dibarisi Samba FT, BMB FT, 1st Five dan PES, sementara dalam Kumpulan B ialah Hi Tune SC, Creativol, NJP FT dan Bio FT.

Kumpulan C mengandungi Star Madang, LSCB, Kilugos FC dan Eagle Blues, manakala Kumpulan D diisi oleh Kota Ranger FT, MBS United SC, Azmainshah dan J.W. FT. Bersaing dalam Kumpulan E ialah Hawa FT, TelBru, 12 Brothers SC dan DST FC.

Piala Perdana Futsal 2015 anjuran NFABD akan berlangsung di Stadium Tertutup KSNHB dan Dewan Serba guna KSNHB.

Antara lain tujuan dan matlamat ia dianjurkan adalah untuk meningkatkan mutu sukan futsal di kalangan pemain, mencungkil bakat dan potensi di kalangan pemain untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan untuk latihan di peringkat belia dan senior.

Ia juga bagi membolehkan NFABD mengenalpasti pemain yang akan diketengahkan bagi mewakili negara di kejohanan-kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa seperti AFF, AFC dan FIFA dan lain-lain kejohanan futsal.

Ia merupakan projek jangka panjang dan berterusan NFABD dalam mengembangluaskan sukan futsal di negara ini, serta memberikan peluang kepada semua kelab futsal di negara ini untuk bergiat aktif dalam sukan futsal.

Dua pasukan finalis Piala Perdana Futsal 2015 akan diserap secara otomatik untuk menyertai Liga Super Futsal 2016, sementara enam dari lapan pasukan yang berjaya mara sehingga ke suku akhir Piala Perdana Futsal 2015 (iaitu tolak dua pasukan finalis) akan bersaing dalam Liga Perdana Futsal 2016.

Dengan NFABD membuat penstrukturan baru iaitu hanya 10 pasukan akan bersaing dalam setiap divisyen, empat pasukan terbawah daripada 12 pasukan yang sedang bersaing dalam BFL 2015 akan bermain dalam Liga Perdana Futsal 2016 sementara selebihnya lapan pasukan teratas akan bersaing dalam Liga Super Futsal 2016.

Lima pasukan juara kumpulan dalam saingan Piala Perdana Futsal 2015 akan terus masuk ke peringkat suku akhir, sementara lima pasukan naib juara kumpulan dan sebuah pasukan ketiga terbaik akan bersaing dalam pusingan kedua untuk mencari tiga lagi pasukan untuk mengisi tiga slot suku akhir.

Hadiah-hadiah yang disediakan bagi empat pasukan terbaik Piala Perdana Futsal 2015 ialah wang tunai $1500, piala iringan dan pingat emas untuk juara, wang tunai $1,000, piala iringan dan pingat perak untuk naib juara, wang tunai $500, piala iringan dan pingat gangsa untuk tempat ketiga dan piala iringan sahaja untuk tempat keempat.