Futsal Piala Perdana buka tirai

Futsal Piala Perdana buka tirai

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Selepas kejayaan Liga Futsal Brunei (BFL) 2015, usaha NFABD mengembangkan sukan futsal diteruskan dengan Futsal Piala Perdana TelBru 2015 malam tadi.

Sebanyak 20 pasukan yang menyertai kejohanan di Dewan Serba guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) mengisi kekosongan dua slot untuk Futsal Liga Super, BFL 2016 dan enam slot untuk Futsal Liga Perdana, BFL 2016, bagi mencukupkan 10 pasukan kedua-dua liga tahun depan.

Kejohanan telah dibuka rasmi oleh Timbalan Presiden NFABD, Yang Dimuliakan Pehin Datu Inderasugara Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mohammad Yusof bin Abu Bakar dengan sepakan penalti, selepas beliau diperkenalkan kepada pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan bertaraf kebangsaan berkenaan.

Beliau turut melakukan cabutan undi untuk perlawanan pertama di antara penaja TelBru dengan pasukan yang sering mendapat tiga tempat teratas di kejohanan futsal peringkat Daerah Belait, Hawa FT. Pasukan yang bertanding dibahagikan kepada lima kumpulan – Kumpulan A dibarisi Samba FT, BMB FT, 1st Five dan PES, sementara dalam Kumpulan B ialah Hi Tune SC, Creativol, NJP FT dan Bio FT. Kumpulan C terdiri daripada Star Madang, LSCB, Kilugos FC dan Eagle Blues, manakala Kumpulan D diisi oleh Kota Ranger FT, MBS United SC, Azmainshah dan J.W. FT. Hawa FT, TelBru, 12 Brothers SC dan DST FC pula dalam Kumpulan E.

Kejohanan ini diadakan untuk meningkatkan mutu sukan futsal di kalangan pemain, mencungkil bakat dan potensi di kalangan pemain untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan untuk latihan di peringkat belia dan senior.

Yang Dimuliakan Pehin menyempurnakan sepakan penalti semasa merasmikan kejohanan Futsal Piala Perdana TelBru 2015.
Yang Dimuliakan Pehin menyempurnakan sepakan penalti semasa merasmikan kejohanan Futsal Piala Perdana TelBru 2015.

Ia juga bagi membolehkan NFABD mengenalpasti pemain yang akan diketengahkan bagi mewakili negara di kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa seperti AFF, AFC dan FIFA dan lain-lain kejohanan futsal. Ia juga merupakan projek jangka panjang dan berterusan NFABD dalam mengembangkan sukan futsal di negara ini, serta memberikan peluang kepada semua kelab futsal untuk terus bergiat aktif. Dua pasukan finalis nanti akan diserap secara otomatik untuk menyertai Futsal Liga Super 2016, sementara enam pasukan yang berjaya mara sehingga ke suku akhir akan bersaing dalam Futsal Liga Perdana 2016.

Dengan NFABD membuat penstrukturan di mana hanya 10 pasukan akan bersaing dalam setiap divisyen, maka empat pasukan terbawah daripada 12 pasukan yang sedang bersaing dalam BFL 2015 akan bermain dalam Futsal Liga Perdana 2016 sementara lapan pasukan teratas akan bersaing dalam Futsal Liga Super 2016.

Lima juara kumpulan Futsal Piala Perdana TelBru 2015 akan terus masuk ke suku akhir, sementara naib juara dan pasukan ketiga terbaik akan bersaing dalam pusingan kedua untuk mencari tiga lagi pasukan untuk mengisi tiga slot suku akhir. Hadiah untuk empat pasukan terbaik kejohanan ialah wang tunai $1,500, $1,000 dan $500 bersama piala iringan dan pingat.