Futsal ria Syahkampong

Futsal ria Syahkampong

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Dis – Futsal Ria Syahkampong 2015 berlangsung meriah dengan empat pasukan yang dinamakan menurut pasukan Liga Perdana Inggeris pilihan masing-masing beradu kehebatan dalam Liga Timbal Balik.

Selepas liga berakhir, Arsenal dan Liverpool sama-sama mengumpul 15 mata, perbezaan gol yang sama dan keputusan seimbang dalam pertembungan antara keduanya iaitu Liverpool menang 1-0 di pusingan pertama liga dan Arsenal menang 1-0 di pusingan kedua liga.

Namun Liverpool diumumkan selaku juara selepas memiliki kelebihan satu jaringan berbanding Arsenal dan telah menerima hadiah berupa jersi beserta seluar jenama Adidas. Arsenal selaku naib juara membawa pulang hadiah jersi jenama Nike.

Manchester United yang menghuni tempat ketiga pula mendapat hadiah jersi jenama Puma, sementara Newcastle United di tempat keempat berpuas hati menerima hadiah kasut futsal jenama Breaker.

Para pemain yang menyertai Futsal Ria Syahkampong 2015 daripada keempat-empat pasukan bergambar ramai.
Para pemain yang menyertai Futsal Ria Syahkampong 2015 daripada keempat-empat pasukan bergambar ramai.

Selain empat hadiah utama berkenaan, lima anugerah individu telah turut disediakan iaitu Penjaga Gawang Terbaik, Anchor (Pertahanan) Terbaik, Pivot (Penyerang) Terbaik, Pemain Paling Kreatif dan Pemain Paling Bernilai.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang Futsal Ria Syahkampong 2015 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) berkenaan ialah Pemilik dan Pengurus Besar Arin’s Enterprise, Awang Hazrin Majid.

Futsal ria yang julung-julung kalinya diadakan oleh Syahkampong berkenaan antara lain bertujuan bagi mengumpulkan kesemua ahlinya dalam suasana persaingan sihat futsal berbentuk ria yang bukan mementingkan kemenangan tetapi keriangan bermain futsal.

Ia juga merupakan aktiviti berkebajikan berbentuk riadah sempena Cuti Penggal Persekolahan Terakhir 2015 yang menjadi medan buat ahli Syahkampong melepaskan tekanan bekerja dan sekolah melalui sukan ria.