Futsal Sekolah Menengah dan Maktab Zon 1 bermula

Futsal Sekolah Menengah dan Maktab Zon 1 bermula

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April – Kejohanan Futsal Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Kawasan Zon 1 2016 bermula hari ini Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

Dengan lapan perlawanan dalam Kategori B daripada tiga kumpulan berbeza. Dua perlawanan pertama melibatkan empat buah pasukan Kumpulan A yang menyaksikan Sekolah Menengah (SM) Awang Semaun seri 1-1 dengan Sekolah St Andrew’s dan SM Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA) menang 3-0 ke atas Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

Dalam perlawanan ketiga, Sekolah Sukan mengalahkan Sekolah St George’s 3-0 dalam Kumpulan C disusuli dengan kemenangan bergaya 4-0 SM Sultan Hassan ke atas SM Chung Hwa dalam Kumpulan B.

SM Sayyidina Umar Al-Khattab kemudiannya mengikat Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) 1-1 dalam Kumpulan B di perlawanan kelima. ITQSHHB mengalami kekalahan 3-0 kali kedua, kali ini kepada SM Awang Semaun pada perlawanan keenam.

SM SMJA bangkit dari ketinggalan 0-1 sebelum melakar kemenangan 2-1 ke atas Sekolah St Andrew’s di perlawanan ketujuh, sebelum kejohanan pada hari pertamanya itu diakhiri dengan Sekolah Sukan dan SM Menglait berkongsi kehampaan sekadar seri tanpa jaringan.

Kejohanan bakal disambung semula pada Rabu, 6 April ini dengan tujuh lagi perlawanan dalam Kategori B dan satu perlawanan dalam Kategori C di tempat yang sama.