Futsal Zon 2 semakin meriah

Futsal Zon 2 semakin meriah

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Kejohanan Futsal Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Kawasan Zon 2 2016 diteruskan pada hari ketiganya kelmarin dengan lapan lagi perlawanan dalam Kategori C (Bawah 18 Tahun).

Sekolah Menengah (SM) Berakas dan SM Sultan Sharif Ali daripada Kumpulan A berkongsi kehampaan seri tanpa jaringan dalam perlawanan pembuka tirai hari ketiga kejohanan itu disusuli kejayaan Pusat Tingkatan Enam (PTE) Meragang membenam SM Katok dengan jaringan 3-0 dalam Kumpulan C.

Dua perlawanan dalam Kumpulan B menyusul bermula dengan kemenangan 2-1 Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) ke atas SM Pehin Datu Seri Maharaja (PDSM) dan diikuti dengan keputusan seri 0-0 antara SM Lambak Kiri dengan SM Rimba.

Kemudian empat pasukan dalam Kumpulan A beraksi. SM Sultan Sharif Ali mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas SM Rimba II manakala SM PIHM juga menewaskan lawannya, SM Berakas dengan jaringan yang sama, 1-0.

Perlawanan ketujuh menyaksikan PTE Meragang dan SM Sayyidina Abu Bakar berkongsi satu mata selepas seri 0-0 dalam aksi Kumpulan C, dan dalam perlawanan terakhir hari ketiga, SM Rimba menebus kehampaan seri perlawanan pertamanya dengan mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas SM PDSM.

Satu perlawanan Kategori C telah pun diadakan pada hari kedua (Selasa, 19 April) kejohanan yang menyaksikan SM Rimba II menang 3-0 ke atas SM PIHM.

Kejohanan akan diteruskan lagi pada hari keempatnya yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 23 April, dengan enam perlawanan peringkat kumpulan bagi Kategori C, yang kemudiannya akan diteruskan dengan dua perlawanan peringkat separuh akhir kategori yang sama.

Manakala bagi Kategori B (Bawah 15 Tahun), empat pasukan yang berjaya mara ke separuh akhir sudah pun diketahui selepas perlawanan peringkat kumpulan berakhir pada hari kedua (Selasa, 19 April) kejohanan iaitu SM Sultan Sharif Ali, SM Lambak Kiri, SM Katok dan SM Sayyidina Abu Bakar.

Tiga pasukan yang disebutkan awal mara selaku juara kumpulan manakala SM Sayyidina Abu Bakar selaku naib juara kumpulan terbaik daripada tiga kumpulan yang bertanding iaitu A, B dan C.

SM Sultan Sharif Ali menjuarai Kumpulan A dengan tujuh mata menerusi kemenangan 1-0 ke atas SM PIHM Serasa, menang 1-0 ke atas SM Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dan seri 0-0 dengan SM Sayyidina Abu Bakar.

SM Sayyidina Abu Bakar di tempat kedua Kumpulan A dengan lima mata. Empat mata lagi diperolehinya melalui keputusan seri 1-1 dengan SM Yayasan dan menang 2-0 ke atas SM PIHM Serasa.

SM Lambak Kiri pula mengungguli Kumpulan B dengan tujuh mata selepas mengalahkan SM PDSM Mentiri 2-0, menewaskan SM Rimba juga dengan jaringan 2-0 dan kemudiannya seri 1-1 dengan SM Rimba II.

SM Katok pula menakluki Kumpulan C dengan 6 mata penuh setelah membelasah Maktab Sains 4-0 dan kemudiannya menundukkan SM Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) dengan jaringan 3-1.

Mengendalikan kejohanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan itu ialah SM Katok. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA