G.H.K Motors ceriakan Pusat Bahagia Eric Goh

G.H.K Motors ceriakan Pusat Bahagia Eric Goh

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 31 Julai – Suasana Aidilfitri tetap masih dirasakan walaupun bulan Syawal tinggal beberapa hari sahaja lagi, dengan majlis-majlis sambutan masih diadakan oleh pelbagai pihak di seluruh negara termasuk Pusat Bahagia Eric Goh Kuala Belait yang mengadakan majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama golongan orang-orang berkeperluan khas.

Majlis tersebut merupakan acara yang diadakan setiap tahun anjuran G.H.K Motors Sdn Bhd melalui Eric Goh Kait Yong Trust Fund, dan tahun ini merupakan kali ke-11 ia diadakan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang diadakan di dewan pusat tersebut, kelmarin, ialah Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Orang Berkeperluan Khas, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Dayang Noryani binti Haji Abdul Rani.

Majlis antara lain bertujuan untuk berkongsi kemeriahan suasana Hari Raya Aidilfitri serta bagi merapatkan lagi jalinan silaturahim antara keluarga warga Pusat Bahagia Eric Goh dengan golongan masyarakat.

Secara tidak langsung, majlis tersebut sedikit sebanyak memberikan ruang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat lagi dan beramah mesra dengan warga berkeperluan khas di pusat tersebut.

Penyampaian sumbangan Hari Raya yang telah disampaikan oleh Jake Goh Kiat Hing kepada warga Pusat Bahagia Eric Goh.
Penyampaian sumbangan Hari Raya yang telah disampaikan oleh Jake Goh Kiat Hing kepada warga Pusat Bahagia Eric Goh.
Gambar ramai Dayang Noryani bersama para pelajar pusat dan ibu bapa serta pegawai-pegawai kanan JAPEM dan wakil G.H.K Motors.
Gambar ramai Dayang Noryani bersama para pelajar pusat dan ibu bapa serta pegawai-pegawai kanan JAPEM dan wakil G.H.K Motors.

Majlis turut menyaksikan penyampaian dana sumbangan Eric Goh Kait Yong kepada warga pusat berkenaan, dan turut menceriakan lagi suasana dengan berbagai persembahan nyanyian dan tarian daripada pelajar-pelajar pusat berkenaan.

Acara kemuncak majlis ialah penyampaian sumbangan hari raya yang telah disampaikan oleh Jake Goh Kiat Hing kepada warga Pusat Bahagia Eric Goh dan diteruskan dengan ramah mesra dengan warga pusat berkenaan.

Turut hadir pada majlis tersebut itu ialah pegawai-pegawai kanan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), wakil-wakil dari G.H.K Motors, ibu bapa dan penjaga pelajar serta ahli keluarga warga pusat.