G. Neville peroleh kemenangan pertama

G. Neville peroleh kemenangan pertama

MADRID, 14 Feb – Gary Neville berharap kemenangan pertama yang dilakar Valencia dalam 10 perlawanan La Liga mampu meningkatkan keyakinan barisan mudanya untuk mengubah nasib mereka musim ini.

Skuad Neville bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Espanyol 2-1, malam tadi hasil dua gol pada 20 minit terakhir menerusi Alvaro Negredo dan Denis Cheryshev untuk mengurangkan kebimbangan terjerumus ke zon penyingkiran selain tekanan ke atas jurulatih itu.

“Mudah-mudahan kami akan mula menghasilkan keputusan yang positif selepas ini. Ini yang dimahukan dan harapan saya,” kata Neville.

“Ia bukannya malam untuk kami meraikan dan kami tidak mahu terbawa-bawa dengan kemenangan ini. Kami perlu mengutip keyakinan daripada kemenangan ini. Saya mula merasakan suasana bilik persalinan yang lebih baik dan kami perlu teruskan.”

Neville dicemuh hebat oleh beberapa media Sepanyol dengan mereka merasakan hubungan baiknya dengan pemilik kelab Peter Lim menyebabkan dia tidak dipecat setakat ini.

Neville bagaimanapun berterima kasih kepada penyokong yang terus setia bersamanya selepas mereka ketinggalan buat kali ke-10 sepanjang dia mengambil alih pasukan selepas tandukan Oscar Duarte meletakkan skuad pelawat di depan pada minit ke-52.

“Apa yang paling luar biasa adalah keputusan penyokong untuk kekal bersama kami. Ia bukannya kerana keberkesanan taktik ataupun jurulatih, ia adalah kerana penyokong menyebabkan pemain bertindak balas selepas dibolosi.

“Kami perlu bangkit beberapa kali dalam liga musim ini iaitu ketika menentang Getafe, Rayo (Vallecano), (Real) Madrid, Deportivo (la Coruna). Dan ia bukan sesuatu yang baharu buat kami. Mereka menunjukkan semangat berpasukan dan malam ini sekali lagi mereka buktikan.”

Neville juga mengumumkan bekas penolong pengurus Liverpool Pako Ayestaran akan menyertai barisan kejurulatihan minggu depan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA