G20 tangani cabaran ekonomi global

G20 tangani cabaran ekonomi global

ANTALYA, Turki, 17 Nov (Bernama) – Berikutan pertumbuhan perdagangan dunia yang masih di bawah paras prakrisis, pemimpin G20 mengesahkan komitmen padu masing-masing untuk menyelaraskan usaha dengan lebih baik bagi mengukuhkan perdagangan dan pelaburan berdasarkan penyelarasan strategi pertumbuhan.

Pelan Tindakan Antalya yang meliputi strategi penyelarasan pertumbuhan dan pelaksanaan serta jadual komitmen utama, menunjukkan kesungguhan G20 untuk menangani cabaran ekonomi dunia.

Dalam memuktamadkan Sidang Kemuncak G20 Antalya di sini, para pemimpin turut mengulangi komitmen masing-masing untuk merealisasikan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan tambahan dua peratus menjelang 2018 seperti yang diumumkan di Brisbane tahun lalu.

Komitmen itu dimuatkan dalam Kenyataan yang dikeluarkan pada akhir sidang kemuncak ke-10 sebelum bertemu semula di Hangzhou, China pada September 2016 dan Jerman pada 2017.

Sepanjang perbincangan dua hari itu, para pemimpin mengambil maklum mengenai pertumbuhan ekonomi dunia yang tidak sekata, dan rendah berbanding jangkaan, meskipun unjuran positif dalam beberapa ekonomi utama.

Risiko dan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan kekal, manakala cabaran geopolitik semakin meningkat dan menimbulkan kebimbangan manakala penurunan dalam permintaan global dan masalah struktur terus menjejaskan pertumbuhan berpotensi dan sebenar.

Bagi mencapai pertumbuhan kukuh dan mampan, pemimpin G20 berkata mereka akan terus melaksanakan dasar makro ekonomi kukuh secara lebih selaras manakala pihak berkuasa monetari akan memastikan kestabilan harga dan menyokong aktiviti ekonomi

“Kami mengulangi komitmen kami untuk melaksanakan dasar fiskal yang fleksibel dan mengambil kira kedudukan ekonomi terdekat supaya dapat menyokong pertumbuhan dan pewujudkan peluang pekerjaan dan pada masa yang sama memastikan hutang sebagai sebahagian daripada KDNK pada laluan yang lebih mampan,” kata pada pemimpin, selain menegaskan komitmen untuk mempromosi keseimbangan global.

ARTIKEL YANG SAMA