GABEM bakal tubuh Sekretariat KEMA

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) akan menubuhkan sekretariat Konvensyen Ekonomi Muslim ASEAN (KEMA) bagi mengangkat dan memperkasakan ekonomi Muslim ASEAN.

Pengerusi GABEM Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata sekretariat itu akan ditubuhkan selepas penganjuran KEMA pada pertengahan tahun ini.

“Sekretariat ini akan menyelaras perniagaan komuniti Muslim ASEAN untuk bersaing dengan syarikat-syarikat besar di rantau ASEAN,” katanya pada sidang media mengenai KEMA di sini hari ini.

Katanya antara objektif penubuhan sekretariat itu ialah memberi peluang kepada Muslim ASEAN untuk mengembangkan perniagaan mereka terutamanya dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dan usaha sama dengan syarikat yang berminat.

Gambar fail menunjukkan Tan Sri Rahim Tamby Chik (kanan). Menurutnya, Gabem akan menubuhkan sekretariat Konvensyen Ekonomi Muslim ASEAN (KEMA) bagi mengangkat dan memperkasakan ekonomi Muslim ASEAN. – Bernama

KEMA melibatkan penyertaan syarikat perniagaan dan usahawan Muslim dari Singapura, Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand dan Kemboja.

Rahim berkata melalui konvensyen itu, semua negara peserta akan membentangkan kertas kerja melibatkan cabaran, prospek peniagaan dan bentuk kerjasama yang boleh dijalin untuk mengukuhkan ekonomi Muslim di rantau ASEAN.

Sementara itu, beliau mencadangkan agar kerajaan lebih agresif dalam menangani isu berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) khususnya membabitkan penguatkuasaan.

“Antara pemerkasaan yang boleh dilaksanakan adalah dengan menubuhkan tribunal GST kerana ia akan memberi perlindungan kepada rakyat supaya tidak ditindas dengan kenaikan harga akibat GST,” tambahnya. – Bernama