Gabung 1 negara tolak terrorisme

Gabung 1 negara tolak terrorisme

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Penggubal undang-undang Asia-Pasifik menggesa masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan satu gabungan negara-negara yang menolak terrorisme dan keganasan melampau secara konsisten.

Mereka juga menyokong bagi mengukuhkan kerjasama antara Parlimen dan antarabangsa untuk meningkatkan rangka kerja pengawalseliaan bagi mencegah dan memerangi keganasan secara berkesan.

Perkara itu terkandung dalam resolusi mengenai memerangi keganasan yang diterima pakai pada mesyuarat tahunan ke-24 Forum Parlimen Asia Pasifik (APPF) di Vancouver, Kanada, mulai 17 hingga 21 Januari.

Para peserta memutuskan untuk menerima pakai undang-undang yang perlu selaras dengan undang-undang antarabangsa, bagi menjenayahkan keganasan dan sebarang bantuan ke atasnya. Dengan ditaja Persekutuan Rusia, Malaysia, Indonesia, Mexico dan Chile, ia merupakan satu daripada 28 resolusi yang diterima pakai dalam mesyuarat Vancouver.

Dokumen tersebut menyatakan bahawa tindakan keganasan yang dilakukan atau ditimbulkan kumpulan pengganas Daesh dan pertubuhan pengganas lain merupakan satu ancaman berterusan untuk keamanan serantau dan antarabangsa, keselamatan dan pertumbuhan, dan sesuatu yang menjadi semakin tersebar dan begitu kompleks.

Pada mesyuarat APPF ke-24, Malaysia, yang diketuai Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, turut menaja tiga resolusi yang lain, iaitu usaha menggalakkan pembangunan ekosistem halal, tenaga lestari dan memperkasakan orang yang lebih tua dalam masyarakat.

Mesyuarat itu menggesa negara anggota dan menggalakkan negara bukan anggota untuk membasmi mana-mana sumber pembiayaan keganasan, termasuk hasil pengedaran dadah, pemerdagangan orang, penjualan tenaga dan sumber-sumber lain, dan juga saluran untuk bekalan senjata kepada organisasi pengganas.

“APPF ke-24 itu juga memutuskan untuk mencegah tindakan mengagung-agungkan tindakan keganasan, menghalang tindakan radikal dalam semua bentuk, dan menyatakan bahawa akan ada hukuman bagi aktiviti pengganas,” menurut resolusi itu.

Di samping itu, ia menggalakkan negara-negara anggota untuk menjalin persefahaman dan kerjasama dengan para pemimpin agama untuk menentang tindakan radikal, dan menyokong mangsa-mangsa keganasan.

Resolusi kepada pembangunan ekosistem halal pula menggesa anggota APPF untuk mempertimbangkan bagi melantik sebuah agensi bagi perkara-perkara pembangunan industri halal untuk memupuk kerjasama lebih baik antara kerajaan dengan kerajaan dalam perdagangan halal, pelaburan, pembiayaan dan penyelidikan.

Mengenai tenaga lestari, APPF menyokong cadangan untuk merangka pelan hala tuju tenaga berhubung sumber tenaga semasa dan yang berpotensi bagi kawasan Asia Pasifik.

Penggubal undang-undang itu mengesahkan keperluan bagi melaksanakan penggunaan teknologi arang batu yang bersih di samping terus meneroka potensi tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan kecekapan tenaga.

Resolusi bagi memperkasakan warga tua dalam masyarakat menyokong supaya dihapuskan sebarang bentuk penganiayaan atas dasar usia tua dan jantina dengan memastikan akses sejagat warga tua kepada infrastruktur dan perkhidmatan awam. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA