Gabungan minuman buah, serbuk lada pikat hati juri

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Seorang penolong pengurus The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) Brunei berjaya membawa trofi kemenangan apabila memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Barista ASIA PASIFIK (Kategori APAC).

Dayang Ayu Siti Mauweyah binti Mohd Tahir, 26, yang dihantar oleh CBTL itu melahirkan rasa penghargaan dan syukur yang tidak ter-hingga kerana diberi kepercayaan untuk mengikuti pertandingan tahunan yang diadakan di Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu. Di samping memenangi tempat kedua pada pertandingan Kategori APAC, beliau juga memenangi anugerah Best Signature Beverage Prize. Dengan dorongan motivasi dan tunjuk ajar pelatihnya, Awang Mohd Syukri bin Rosli, beliau berjaya membawakan resipi minuman buatan sendiri ke pengadilan pertandingan tahunan itu.

Minuman yang dinamakan ‘Affogato Pungent Infusion’ itu merupakan campuran daripada dua jenis buah tropika dengan keunikan tambahan dan kreativiti beliau memasukkan sedikit serbuk lada.

Katanya, idea untuk menghasilkan resipi minuman ini datangnya daripada pemikiran sendiri bagaimana untuk menyatukan rasa manis dari buah-buahan, pahit dari kopi dan sedikit rasa pedas.

“Ketika hakim mengarahkan saya untuk memberitahu resipi saya dan saya mengatakan serbuk lada, para hadirin yang menyaksikan pertandingan itu melahirkan rasa geli mereka, namun setelah dicuba oleh para hakim, mereka menyukainya,” jelasnya yang tewas dua mata sahaja di belakang peserta dari Filipina.

Dayang Ayu Siti Mauweyah menunjukkan trofi kemenangannya.
Dayang Ayu Siti Mauweyah menunjukkan trofi kemenangannya.

Beliau turut memberitahu bahawa ini adalah tahun ketiganya menyertai pertandingan berkenaan sejak tahun 2015 dan tahun ini beliau berjaya membawa balik trofi kemenangan untuk menambah motivasi lagi kepada rakan-rakan yang lain.

Katanya lagi, beliau telah berkhidmat dengan CBTL Brunei sejak tahun 2014 dan kini memegang jawatan sebagai penolong pengurus cawangan CBTL Brunei di Ibu Pejabat BSP, Panaga, Kuala Belait.

Di kesempatan itu, beliau melahirkan harapan agar kemenangan itu dapat mendorong rakan-rakan barista untuk terus mencuba dan berkreatif bagi menghasilkan minuman yang unik dan dibawa ke pertandingan nanti.

Dalam pada itu, CBTL bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-16 tahun dan akan menyediakan pelbagai aktiviti serta promosi untuk para pelanggannya.