Gabungan tradisi, moden

Gabungan tradisi, moden

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 25 Ogos – Pentas Perayaan di kawasan Gerai Tudong Saji, Jalan Setia Diraja, di sini terus dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik, dan malam tadi para pengunjung telah dihiburkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Liang dengan menampilkan beberapa corak persembahan tradisi dan moden yang turut melibatkan penyertaan belia-belia dan penuntut sekolah.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penasihat MPK Sungai Liang, Dato Paduka Dr Haji Mat Sunny bin Haji Mohd Hussein.

Hajah Zahara binti Haji Mohd Isa, selaku pengerusi persembahan itu, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan MPK berkenaan akan sentiasa mengadakan kegiatan-kegiatan yang boleh menyatupadukan masyarakat di mukim berkenaan terutamanya aktiviti-aktiviti yang melibatkan penyertaan generasi muda.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan nyanyian beramai-ramai berjudul Dirgahayu.

Masyarakat Cina Mukim Sungai Liang yang membuat persembahan semalam.
Masyarakat Cina Mukim Sungai Liang yang membuat persembahan semalam.
Barisan kanak-kanak bawah umur 12 tahun yang mengikuti pertunjukan fesyen.
Barisan kanak-kanak bawah umur 12 tahun yang mengikuti pertunjukan fesyen.
Persembahan guling tangan kanak-kanak Puak Dusun di mukim berkenaan.
Persembahan guling tangan kanak-kanak Puak Dusun di mukim berkenaan.

Antara persembahan yang menarik perhatian para pengunjung termasuk persembahan guling tangan oleh kanak-kanak Puak Dusun di mukim berkenaan serta tarian tradisi Puak Dusun seperti Tamarok, Ancayau, Kelabang Usak dan nyanyian Usak Tanjung yang menggamatkan lagi suasana gerai perayaan.

Selain itu, pertunjukan fesyen kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, persembahan nyanyian 60-an hingga 80-an dan nyanyian solo veteran juga diadakan.

Masyarakat Cina, Iban dan Melayu jati yang bermastautin di mukim itu juga turut memeriahkan suasana pentas perayaan berkenaan dengan mempamerkan identiti budaya masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA