Gabungkan ilmu pengetahuan dan latihan

Gabungkan ilmu pengetahuan dan latihan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Bidang sukan tidak boleh lagi dianggap sebagai salah satu aktiviti riadah masa lapang, sebaliknya dipandang sebagai satu cabang kerjaya yang serius.

Ini kerana sukan merupakan satu aktiviti penting yang apabila digabungkan dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan latihan akan dapat membantu seseorang atlet itu mengenali bidang sukan dengan lebih mendalam.

Saranan itu dibuat oleh MenteriKebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Awang Hazair bin Haji Abdullah ketika berucap pada perasmian Persidangan Sukan Adalah Pendidikan yang berlangsung di Sekolah Antarabangsa Jerudong, hari ini.

Ketika berucap di hadapan kira-kira 70 guru sukan sekolah-sekolah Kluster Enam yang mengikuti persidangan itu beliau berkata, bidang sukan yang diceburi dengan ilmu pengetahuan tanpa latihan yang bersesuaian adalah usaha yang sia-sia kerana sama penting ialah gabungan ilmu pengetahuan mengenai sukan yang diceburi berserta ilmu pengetahuan dan latihan yang berterusan.

Beliau berkata demikian kerana latihan dapat membantu menyedarkan seseorang itu mengenai kelemahan dan potensi dirinya dalam usaha untuk memperbaiki lagi prestasi diri untuk mencapai kecemerlangan dalam sukan yang diceburi.

Shafeek Kamalie (kanan) dari Afrika Selatan menyampaikan taklimat mengenai penubuhan pasukan ragbi di negaranya.
Shafeek Kamalie (kanan) dari Afrika Selatan menyampaikan taklimat mengenai penubuhan pasukan ragbi di negaranya.

Persidangan Sukan Adalah Pendidikan anjuran Kesatuan Ragbi Brunei dengan kerjasama Sekolah Antarabangsa Jerudong itu cuba mengupas mengenai kepentingan Ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh oleh seseorang itu di sebalik halangan dan cabaran yang dialami oleh seseorang atlet itu.

Penganjuran persidangan selama enam hari mengenai sukan itu adalah bersempena dengan pelancaran Minggu Pendidikan Ragbi, dengan agenda persidangan pada hari ini berkisar dengan perkongsian pengalaman dan kejayaan yang dicapai melalui bidang sukan.

Seramai enam penceramah daripada disiplin sukan berlainan diundang untuk berkongsi pengalaman mereka dalam menjayakan sesuatu bidang sukan itu, antaranya Shafeek Kamalie dari Afrika Selatan yang menceritakan mengenai sejarah dan pengalaman negaranya menubuhkan pasukan ragbi, Jurulatih Sukan Renang Negara Brunei Darussalam, Eric Landa yang membincangkan tajuk ‘Sukan dan Disiplin’ dan perspektif seorang atlet tempatan, Shawal Nizam bin Haji Yani mengenai ‘Sukan adalah Pendidikan’.

Sementara pengisian pada hari kedua Minggu Pendidikan Ragbi akan menumpukan kepada kursus kejurulatihan sukan ragbi dan di hari ketiga Sekolah Antarabangsa Jerudong dan Sekolah Antarabangsa Brunei akan menerima lawatan daripada ahli Kelab Ragbi Saracens.

Sambutan Minggu Pendidikan Ragbi diteruskan dengan perlawanan peringkat akhir Piala Kelab Brunei pada 6 Jun dan berakhir pada 7 Jun dengan Kejohanan Ragbi Sepuluh Sekolah yang akan diadakan di Sekolah Antarabangsa Jerudong.

ARTIKEL YANG SAMA