Gadis China t...

Gadis China teruja ‘cari jodoh’ di Malaysia

PETALING JAYA, 12 Feb – Seorang gadis China, Angel Jin, 29, tidak ketinggalan melontar limau ke dalam tasik sempena perayaan Chap Goh Meh malam tadi dengan memasang niat agar dia segera bertemu jodoh dengan pemuda tempatan.

Pembantu penyelidik dari Jiangsu ini yang telah empat bulan menetap di Malaysia melempar limau di Tasik Taman Jaya di sini.

Seawal pukul 7 malam, dia kelihatan teruja bersama tujuh anggota keluarganya di tepi tasik dengan turut membawa bersama sekotak limau mandarin.

“Berbanding dengan kampung halaman saya di Jiangsu, tidak ada upacara melontar limau sempena Chap Goh Meh. Kami hanya sekadar berkumpul bersama-sama anggota keluarga untuk makan malam selepas upacara sembahyang.

Dua orang gadis Cina menulis nombor telefon mereka pada limau yang akan dilontar ke dalam tasik.  -Bernama
Dua orang gadis Cina menulis nombor telefon mereka pada limau yang akan dilontar ke dalam tasik. -Bernama

“Namun di Malaysia, saya begitu teruja kerana masih banyak tradisi turun-temurun yang unik dan mengagumkan yang masih diamalkan masyarakat Cina, antaranya acara melontar limau yang belum pernah saya cuba selama ini,” katanya kepada Bernama.

Acara tersebut adalah anjuran Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

Limau-limau yang dilontar turut tertera nama dan nombor telefon si gadis agar kelak dapat dihubungi si pemuda yang memungut limau mereka dan seterusnya memulakan sesi pengenalan peringkat awal. Menurut Jin, dia melontar seberapa banyak limau yang boleh yang tertera nama dan nombor aplikasi WeChatnya.

“Dengan bantuan ayah dan ibu angkat saya, saya melontar sehingga 20 biji kesemuanya dan saya menerima beberapa mesej daripada jejaka yang berjaya mengaut limau saya dari tasik selepas sejam kemudian. – Bernama