Gadis misteri di tasik universiti

PENGAWAL Keselamatan muda itu runsing seketika. Lampu suluhnya kembali tidak berfungsi. Lampu-lampu berhampiran Tasik Universiti juga pandai meragam di waktu yang sama. Dalam suram malam dan berpandu cahaya bulan sabit, dia meraba-raba sekeliling. Rondaan diteruskan dahulu. Dia memutuskan untuk tidak berpatah balik ke motorsikalnya sekali lagi. Sudah berkali-kali dia dapati lampu suluhnya hanya meragam setelah dia menghampiri kawasan jeti tasik di malam itu. “Cik?”

Pengawal muda itu menegur. Lari juga semangatnya sekejap tadi apabila terlihat ada gadis berbaju putih yang duduk di tepi Tasik Universiti itu. Gadis misteri itu tidak menoleh. Pengawal muda tersebut merapat ke arahnya perlahan-lahan. Dia takut gadis tersebut terkejut dan terjatuh ke dalam tasik tersebut. “Cik? Cik buat apa sorang-sorang kat sini?” tegurnya lagi dengan nada lembut.

Gadis tersebut masih berbuai-buai sambil menyanyi dalam bahasa yang tidak diketahui. Segala panggilan dari pengawal muda tersebut tidak dipedulikan. Pengawal muda tersebut memberanikan diri untuk menepuk bahu gadis tersebut. Hari makin lewat. Dia tidak berani membiarkan sahaja gadis itu di situ. Dia mempersediakan minda dan dirinya andai gadis tersebut menjerit terkejut sehingga terjatuh ke dalam tasik. Dadanya bergoncang hebat akibat degupan jantung yang semakin laju. Dia meneguk air liur untuk membasahkan tekak yang terasa kesat. Sambil tangannya perlahan-lahan cuba menepuk bahu gadis tersebut, dia cuba mengeluarkan suara untuk menegur lagi. “Cik…”

Tiba-tiba gadis tersebut menoleh. Kepalanya berpusing ke belakang hampir separuh bulatan. Terduduk pengawal muda itu dibuatnya. Gadis misteri itu kemudian merangkak pantas ke arahnya. Pengawal muda itu cuba mengesot ke belakang, tetapi dalam ketakutan, pergerakannya dirasakan terlalu perlahan. Sekelip mata sahaja muka gadis itu sudah hampir dengannya.

Peluh dingin berjurai-jurai membasahi wajah pengawal muda tersebut. Kelangkangnya juga terasa basah. Walaupun sebelum ini banyak rakan-rakannya yang mengatakan dia pemuda yang kuat dan sesuai menjadi anggota berpakaian seragam, malam ini dia terasa sangat lemah. Gadis tersebut berdiri lutut. Ia menyapu pipi pengawal muda tersebut.

Mulut gadis tersebut mula ternganga dengan luas. “A-aa… A-aa…” Pengawal muda itu cuba menjerit. Suaranya tidak mampu keluar. Di saat wajah gadis tersebut semakin rapat dengan wajahnya, pandangannya dirasakan kelam dan gelap. Pengawal muda tersebut sudah tidak ingat lagi apa yang berlaku selepas itu.

Khairi dan Azman mencuci tangan di sinki dewan makan. Dalam kantuk, mata mereka ditahan dari terkatup. Harapan mereka, sarapan ini mampu menyegarkan tubuh untuk kelas mendatang. “Luasnya menguap,” tegur Aini. Khairi terkejut dan segera menutup mulutnya. “Nasib baik bukan masa minum. Kalau tak, mesti tersembur ke muka kau,” sambut Khairi. Gadis tersebut tersengih sahaja. Seorang lagi pelajar perempuan melambai mereka. Azilah baru tiba untuk sarapan. “Kelas pukul lapan, ke?” tanya Azilah yang masih berpakaian biasa, sinis. Khairi dan Azman mengiyakan sambil mengecilkan mata, tanda mengantuk. Dua gadis itu tertawa.

Cuti pertengahan semester telah tamat. Semua pelajar kembali memenuhi kawasan kampus. Semua tampak normal. Mungkin semua semua seakan terlupa seketika kekalutan sebelum ini. “Senyap tak tahu berita. Harap-harap dia tak apa-apa,” kata Khairi.

Kisah yang menimpa seorang pengawal muda di universiti tersebut terpacul di mulutnya ketika makan. Ketika kejadian di awal Semester 1 itu berlaku, penga-wal muda tersebut dijumpai di tepi tasik dengan keadaan tidak sedarkan diri. Dia sangat lemah dan wajahnya pucat lesi. Mereka menyangka yang dia telah mati ketika itu. Apa yang telah berlaku terha-dapnya tidak diketahui. Pihak keselamatan kampus hanya dapat mengingatkan pelajar-pelajar dan kakitangan yang tinggal di dalam kampus untuk berhati-hati. Mereka mengelak sebarang tanggapan yang boleh menyebabkan kekecohan. Siapa yang tidak takut jika mengetahui seseorang dijumpai dalam keadaan seakan-akan orang mati?

Khairi mengorek fail-fail dari komputer ribanya. Dia memasang video dari salah satu siri kegemarannya di televisyen dahulu, di mana salah satu wataknya mempunyai kebolehan dipanggil astral projection. Watak tersebutmenghasilkan bayangan dirinya di tempat lain. Tetapi, tubuh asalnya seakan tertidur seketika. Bayangannya tetap kelihatan seperti tubuh asal, cuma sesetengah kebolehan yang tubuh utama boleh lakukan tidak dapat digunakan. “Tak pernah aku terfikir,” ujar Azman. “Tapi takkan sampai macam tu?” Khairi mengangkat bahu. Sejujurnya dia pun tidak tahu. “Dah macam cerita hantu. Macamana pakcik jaga nak selesaikan kalau macam ni?” Keadaan makin buntu. Nampaknya masalah ini tidak mungkin selesai dengan cepat.

“Kenapa?” tanya Khairi. Azman tiba-tiba mengeluh ketika dia sedang menonton video di internet. “Duit dalam poket tak cukup. Kena keluarkan malam ni juga. Duit baju program tu kita kena bayar pagi esok, kan?” Khairi mengangguk. Dalam dompetnya sendiri hanya cukup-cukup untuk kegunaan sendiri. Tidak cukup untuk mendahulukan rakan sebiliknya itu. Kelas di hari esok juga awal. Agak leceh untuk ke bank sebelum kelas bermula.

Mereka menoleh ke arah jam dinding. Masih jam 9.30 malam. Boleh lagi hendak keluar, tetapi Azman perlu cepat. Mereka perlu pulang sebelum waktu berkurung jam 10 malam. “Tak apa. Aku teman,” kata Khairi. Untuk ke bank, mereka perlu melintasi kawasan Tasik Universiti. Lebih baik berhati-hati dahulu. Kalau apa-apa terjadi pada Azman, Khairi mungkin menyesal seumur hidup. “Dah?” tanya Khairi sebaik melihat rakannya menyimpan dompetnya. Azman mengangguk.

Mereka menunggang balik ke arah kolej. Keadaan yang lengang mempercepatkan perjalanan mereka. Namun, dalam bergegas, mereka cuba berhati-hati. Tiba-tiba Azman seakan-akan melatah. Motorsikalnya terasa ditolak dan hilang imbangan. Mereka berdua jatuh. Khairi tergolek lebih jauh dari tempat kende-raan mereka terbabas. Khairi mendengus sambil menggosok sikunya yang tercalar. “Apa jadi, Ma-” kata-katanya terhenti ketika dia menoleh ke arah Azman. Anak matanya mengecil.

Azman sedang berdiri lutut. Kepalanya terdongak menatap wajah seorang gadis berkulit pucat. Matanya yang layu membuatkan dia kelihatan sedang dipukau. Gadis tersebut mengusap pipinya. “MAN!!!” tempik Khairi. Harapnya sahabatnya itu tersedar. Dia pantas bangun untuk menarik tubuh rakannya itu. Gadis berkulit pucat itu merenung tepat ke arahnya. Gerak kakinya terpaku seketika apabila dia melihat jelas wajah gadis tersebut. Wajahnya sama seperti pelajar yang dituduh bermasalah itu. Salin tak tumpah. “Betul ke teori astral projectionhari tu?” Hatinya bertanya sendiri. Gadis misteri itu mengangkat tangannya dan menghalakan telapaknya ke arah Khairi. Dengan tidak semena-mena Khairi terasa badannya tertolak ke belakang. Dia terlentang di atas tanah. “Sabar. Aku akan ‘makan’ kau kejap lagi,” kata gadis misteri tersebut.

Dia mengangakan mulutnya dengan luas di hadapan muka Azman. Di saat dia cuba menggigit mulut pemuda itu, seketul batu besar singgah ke mukanya. “AAAUUUHHH!!!” dia menjerit kesakitan. Darah hitam mengalir di kepalanya. Dia menyumpah-nyumpah. “Kau memang tak sabar nak mati, kan?” tengkingnya terhadap Khairi. “Siapa kau?! Kenapa kau kacau hidup budak tu?!” jerkah Khairi. Lawannya terdiam seketika dan kemudian ketawa kecil. Langit yang mula guruh dan menurunkan rintik-rintik hujan membuatkan keadaan semakin menakutkan. “Kau percaya cakap budak tu?” jawabnya mengejek. “Berambuslah dari hidup dia! Kenapa kau mesti nak keluar dari tubuh dia untuk takutkan orang ramai?!!”

“Keluar dari tubuh dia?” Gadis tersebut ketawa lagi. “Dia yang keluar dari tubuh aku!!!” sambungnya. Khairi terdiam dengan jawapan tersebut. “Aku gunakan muka aku yang lebih cantik untuk hasilkan dia. Dia umpan aku, faham?!!” Mata Khairi membulat mendengar kata-kata perempuan tersebut. “Ya! Dia umpan aku. Dia tolong tengok mana laki-laki baik, laki-laki kacak, laki-laki kuat. Bila mereka lalu lalang dekat sini, aku sambar mereka.” katanya penuh perasaan. “Aku sedut segala macam semangat hidup mereka sampai kering.”

Khairi dapat melihat air liur yang meleleh pekat di tepi bibirnya. Bagaikan sedang bersembang tentang makanan yang sedap yang sangat mahal. Gadis pucat tersebut mengelapnya dengan lengan bajunya. “Kau tahu?” sambungnya. “Pengawal muda tu yang paling puas aku dapat makan. Semangat dan tenaga dia kuat sampai berminggu-minggu aku tak perlu cari orang baru.” Khairi tidak pasti apa perasaan yang patut dirasa. Akhirnya, perasaan jijik dan keji juga yang timbul ketika perempuan tersebut mengilai kegembiraan mengimbau balik peristiwa manis dia menyantap semangat Pengawal muda malang tersebut.

“Kenapa makan jiwa saja tapi tak makan daging? Muda-muda lagi gigi kau dah reput?” dia cuba menyinggit. Lawannya memandang tajam ke wajah Khairi. “Aku nak jadi pengguna sihir terhebat. Aku nak jadi kuat. Mana boleh jadi macam tu kalau makan benda-benda yang orang lemah macam kau makan!” tempiknya penuh bangga. “Kau tahu?” sambungnya lagi. Macamlah aku bodoh sangat, rungut Khairi. Dia sudah tidak takut lagi dengan lawannya.

“Sepatutnya aku makan kawan kau yang baik sangat, yang tengah termenung tu. Itu yang umpan aku dah bagi sebelum ni,” katanya sambil menuding jari ke arah Azman yang masih nampak khayal. “Tapi memandangkan kau ni kuat melawan, aku rasa mesti aku boleh dapat tenaga kuat macam Pengawal muda kesukaan aku tu, kan?!” Sambil mengilai, Gadis pucat tersebut menerpa ke arahnya. Khairi terkejut dan tidak sempat berbuat apa-apa.

Lehernya dicekik. Dia dapat melihat Gadis tersebut menganga luas, sama seperti ketika ia mahu menggigit dan ‘memakan’ Azman. Khairi cuba melawan, tetapi pandangannya mula kelabu. “AAARRRGGHHHH!!!”

Jeritan nyaring membingitkan telinga kedengaran. Daya-daya yang mengekang Khairi terasa berkurangan. Dia membuka mata. Ahli sihir durjana tersebut sedang merangkak menahan kesakitan. Tangannya mencengkam kepalanya yang sedang membocorkan bendalir pekat. Dia menoleh ke kiri. Azman sedang tercungap-cungap. Tangannya sedikit menggeletar. Dia telah melawan sesuatu, mungkin ketakutannya sendiri. Azman merapati Khairi untuk bangun semula. “Tak guna!!!” jerit perempuan tersebut. “Kamu ingat benda ni boleh bunuh aku?!! Aku lebih kuat dari yang kau sangka!!!”

Dia mengilai kuat sambil mengangkat tangannya ke langit. Dua pemuda tersebut mula ketakutan. Mana tahu jika lawan mereka hendak menyeru benda-benda pelik untuk membunuh mereka. “KROOOOMM!!!!!!!” Dentuman yang sangat kuat yang mengikuti pancaran cahaya kuat membuatkan pandangan mereka kabur. Mereka dapat mendengar samar-samar jeritan ngeri perempuan tersebut. Telinga berdesing. Pandangan gelap. Kemudian, mereka tidak sedar akan apa-apa lagi. “Khairi… Khairi, bangun!”

Khairi tersentak. Azman di sebelahnya. “Kat mana ni?” ajunya kepada Azman. Mereka rupanya masih di tepi tasik. Mereka terpinga-pinga, sehinggalah mereka terlihat satu tubuh perempuan yang separa terbakar tertiarap beberapa meter di hadapan mereka. Rupanya mereka bukan bermimpi.

Pihak berwajib sudah dimaklumkan. Siasatan jelas menunjukkan mereka hanya mempertahankan diri. Sebab kematian Gadis misteri itu sendiri direkodkan sebagai menerima renjatan elektrik bervoltan tinggi. Tentang pelajar misteri tersebut, rakan sebiliknya mengatakan yang dia tiba-tiba hilang pada malam kejadian. Tiada siapa dapat dihubungi memandangkan dia tiada ibubapa lagi dan tiada saudara terdekat. Banyak perkara yang tergantung, tetapi memang itu sahaja yang mampu dibuat.

“Wah… Korang boleh tulis buku ni,” sakat Azilah dan Aini. Azman dan Khairi tergelak besar. “Boleh juga kan? Ala-ala witch hunter,” Khairi menyampuk. Dia menggosok janggut nipis di dagunya sambil mengecilkan matanya tanda berfikir dengan serius. Kala berbual, mereka disapa seseorang. Seorang pemuda berpakaian seragam Pengawal Keselamatan berdiri di tepi meja mereka sambil tersenyum. Dia menghulurkan tangan, bersalam dengan dua pelajar itu. “Terima kasih,” kata Pengawal muda tersebut. “Saya nak ucap secara berdepan dengan mereka yang dah selamatkan saya.” Akhirnya, kes yang berbulan-bulan menghantui pelajar dan penghuni kolej selesai. Gadis Misteri di Tasik Universiti sudah tiada lagi. Jangan ada lagi yang muncul harapnya.