Gadis remaja disasar jadi keldai dadah di Sarawak

Gadis remaja disasar jadi keldai dadah di Sarawak

KUCHING, 11 Nov – Pengedar dadah sedang menyasarkan gadis remaja di negeri ini untuk dijadikan keldai dadah.

Ketua Polis Negeri Datuk Mazlan Mansur hari ini berkata setakat ini tujuh kes sebegini dilaporkan tahun ini.

“Walaupun tidak begitu serius, kita tidak boleh mengambil mudah perkembangan ini. Kita perlu tumpaskan sindiket ini hingga ke akar umbi.

“Saya merayu ibu bapa agar memantau aktiviti anak-anak bagi mengelak mereka daripada menjadi mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak ACP Lukas Aket menyerah tugas kepada penggantinya, DSP Sekam Anoi di ibu pejabat polis negeri di sini.

Mazlan berkata modus operandi pengedar adalah dengan berkawan dan mengembangkan hubungan dengan remaja terlibat menerusi media sosial sebelum meminta mereka mengambil barangan daripada perkhidmatan kurier yang sebenarnya mengandungi dadah.

Sementara itu, Lukas berkata polis negeri telah menjalankan tugas dengan cemerlang dalam memerangi dan mengawal ancaman dadah daripada merebak di negeri ini.

“Setakat ini kita telah membuat 5,582 tangkapan atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah dan merampas aset seperti rumah dan kereta serta wang tunai bernilai RM2.7 juta.

“Kebanyakan tangkapan dilakukan di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu dan di bandar-bandar kecil. Dua belas tangkapan dibuat melibatkan lebih satu kilogram dadah,” katanya. – Bernama