Gagal bayar $137,000, bakal dipenjara

Gagal bayar $137,000, bakal dipenjara

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Seorang lelaki tempatan yang didakwa pada April 2014 atas kesalahan memiliki rokok seludup bakal berdepan 12 bulan penjara selepas gagal membayar denda $137,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret dalam tempoh yang diberikan.

Terdahulu, Roslan bin Mansur didakwa di mahkamah pada April 2014 atas pertuduhan memiliki 514 karton rokok yang disimpan di dalam keretanya di Jalan Wijaya Perpindahan Mata-Mata Gadong sekitar 4:57 petang pada 16 Februari 2013.

Dalam sebutan terdahulu, denda itu perlu dijelaskan dalam tempoh enam bulan dari tarikh hukumannya pada 15 April 2014 namun tertuduh diberi penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

pg06_150707_mahkamah logo2

Di Mahkamah Tinggi ketika rayuan dibuat pada Februari 2015, Ketua Hakim, Dato Seri Paduka Haji Kifrawi memutuskan untuk mengambil kaedah bayaran sekaligus apabila cadangan alternatif untuk membayar $2,500 sebulan dikira satu penindasan kepada tertuduh dan juga beban pentadbiran kepada mahkamah.

Tertuduh memberitahu Ketua Hakim bahawa dia akan menjual tanah dan rumahnya di Jalan Mentiri pada harga $180,000 namun tidak pasti bila jualan itu dapat dimuktamadkan.

Ketua Hakim kemudian memberi tempoh enam bulan bermula 5 Februari hingga 6 Ogos 2015 untuk tertuduh membayar denda, namun dalam sebutan semakan pembayaran di Mahkamah Majistret, hari ini, mendapati tertuduh gagal membayar denda itu.

Tertuduh memberitahu Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli bahawa dia telahpun menjual rumahnya dan pembayaran hanya akan diterima bulan ini. “Jika kamu membuat pembayaran selepas hari ini, hukuman ke atas kamu akan dikurangkan tetapi kegagalan membayar denda akan menyebabkan kamu meringkuk di penjara serta merta,” kata Hakim.

ARTIKEL YANG SAMA