Gagal bukan penghujung jalan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Meskipun pelumba basikal negara tidak berjaya meraih sebarang pingat di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-29 Kuala Lumpur baru-baru ini, jurulatih Basikal Brunei Darussalam, Awang Yafi Jamaludin tetap bangga dan berbesar hati dnegan pengorbanan serta usaha yang tidak putus daripada semua pelumba negara.

Menurutnya ketika dihubungi baru-baru ini sebelum bertolak ke Kuala Lumpur bagi mengiringi pasukan Para-Cycling negara di Temasya Sukan Para ASEAN ke-9 di Kuala Lumpur, kejayaan bukan penamat dan kemuncak, manakala kegagalan bukan bermakna penyudah kerana apa yang lebih penting kini adalah para pelumba perlu terus berusaha.

“Kami perlu usaha lebih gigih lagi untuk berada pada satu tahap yang lebih baik dan saya percaya pengalaman menyertai Sukan Asia Tenggara itu boleh dijadikan ukuran untuk menentukan acara yang sebenarnya. Mereka harus pilih memandangkan ada pelumba yang boleh menyerlah dalam sesuatu acara,” ujarnya.

Beliau sangat memuji komitmen pelumba kerana menurutnya ada di kalangan pelumba yang pertama kali bertanding dalam acara trek tetapi menunjukkan semangat juang yang tinggi, cuma tahap prestasi pesaing jauh lebih baik dan menurutnya itu adalah peningkatan yang boleh dibanggakan.

Persiapan latihan dan persediaan pelumbaan serta pendedahan pertandingan yang kurang adalah sebahagian punca kegagalan pasukan Negara Brunei Darussalam dalam Temasya Sukan Asia Tenggara itu, namun para pelumba perlu proaktif, tambahnya lagi.

“Kegagalan di Sukan Asia Tenggara sedikit sebanyak melunturkan semangat pelumba, akan tetapi seperti yang saya nyatakan sebelum ini bahawa kegagalan bukannya titik tamat dan saya percaya masih terdapat peluang serta ruang untuk kitani meningkatkan tahap prestasi untuk berada setanding dengan pesaing kita,” tegasnya lagi.