Gagal kesan El Nino

Gagal kesan El Nino

JAKARTA, 28 Okt (Reuters) – Agensi kaji cuaca Indonesia gagal meramalkan kesan fenomena cuaca El Nino pada tahun ini akan menjadi lebih teruk daripada 1997, kata seorang menteri kanan hari ini, tatkala kerajaan menimbang untuk mengisytiharkan darurat negara disebabkan kebakaran hutan.

Kebakaran yang meletus di seluruh gugusan kepulauan telah mencetuskan jerebu yang telah menyelubungi sebahagian besar Asia Tenggara dalam beberapa bulan ini dan, menurut pihak berkuasa, telah meninggalkan lebih setengah juta penduduk Indonesia menderita penyakit pernafasan.

Luhut Panjaitan, menteri penyelaras keselamatan yang ditugaskan oleh Presiden Joko Widodo untuk menyelia respons kerajaan terhadap krisis itu, berkata agensi kaji cuaca negeri BMKG tidak meramalkan sejauh mana kesan El Nino.

“Saya mesti mengakui terdapatnya kesilapan dalam ramalan BMKG yang tidak meramalkan El Nino pada tahun ini akan menjadi lebih teruk daripada 1997,” beritahu Panjaitan kepada wartawan.

“Ramalan kami ternyata salah sama sekali.”

Seorang ibu duduk bersama anak lelakinya yang beransur sembuh daripada penyakit pernafasan di sebuah hospital di Palangkaraya, Tengah Kalimantan, Indonesia pada 28 Oktober. Agensi kaji cuaca gagal untuk meramalkan kesan fenomena El Nino tahun ini akan menjadi lebih buruk daripada tahun 1997. – Reuters
Seorang ibu duduk bersama anak lelakinya yang beransur sembuh daripada penyakit pernafasan di sebuah hospital di Palangkaraya, Tengah Kalimantan, Indonesia pada 28 Oktober. Agensi kaji cuaca gagal untuk meramalkan kesan fenomena El Nino tahun ini akan menjadi lebih buruk daripada tahun 1997. – Reuters

Seramai 19 orang telah terbunuh dalam usaha memerangi kebakaran, dan kesan El Nino telah memburukkan musim kering sekaligus menjadikannya lebih sukar untuk memadamkan kebakaran.

Sering dimulakan oleh syarikat perladangan dan peniaga kecil, kebakaran telah terbakar selama beberapa minggu di hutan dan tanah gambut yang kaya dengan karbon di Sumatera dan pulau Kalimantan.

Baru-baru ini, kebakaran itu telah merebak ke tempat seperti Papua.

Agensi pengurusan bencana negara berkata ia menjangka api dipadamkan sepenuhnya pada akhir November atau awal Disember.

Wilayah yang terjejas oleh jerebu telah mulai melihat hujan, yang diharapkan oleh pihak berkuasa akan membantu usaha kerajaan dalam memadamkan kebakaran.

Indonesia telah menghantar kapal perang untuk memindahkan anak damit dan penduduk lain di kawasan yang terjejas oleh jerebu tetapi pemindahan akan dijadikan jalan terakhir sekiranya pihak berkuasa gagal menyediakan penjagaan untuk mereka yang menderita daripada penyakit pernafasan.