Gajah berjalan 1,700km akhirnya mati

Gajah berjalan 1,700km akhirnya mati

DHAKA, 16 Ogos – Seekor gajah yang dipercayai telah berjalan sekurang-kurangnya 1,700 kilometer dari India ke Bangladesh selepas terpisah daripada kumpulannya akibat banjir, mati hari ini meskipun usaha saat-saat terakhir untuk menyelamatnya.

Haiwan itu diberi ubat penenang sebanyak tiga kali dalam usaha dramatik untuk membawanya ke sebuah taman safari di Bangladesh, selepas ia dihanyutkan ke sempadan pada akhir Jun.

Ia diberikan larutan salina yang banyak dan dirantai di sebuah sawah padi di utara kampung untuk membantu menyembuhkannya, namun ia “terlalu lemah dan letih” akibat pengalaman pahitnya, kata pegawai.

“Ia menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7 pagi,” beritahu ketua pemuliharaan hidupan liar kerajaan Ashit Ranjan Paul kepada AFP.

“Kami telah pun berusaha sedaya upaya untuk menyelamat haiwan itu. Sekurang-kurangnya 10 renjer hutan, doktor haiwan dan polis telah mengikutnya sejak 48 hari lalu. Namun kami tidak bernasib baik,” kata beliau.

Paul berkata haiwan itu mungkin berjalan lebih daripada 1,700 kilometer dari negeri timur laut India Assam setelah terpisah daripada kumpulannya akibat banjir teruk.

Haiwan itu mengamuk dan meluru ke dalam sebuah kolam selepas pegawai hutan Bangladesh menembak damak penenang pada Khamis lalu.

Penduduk tempatan melompat ke dalam kolam untuk menyelamat haiwan seberat empat tan itu daripada mati lemas dengan menghalangnya terjatuh ke dalam air.

Seorang gembala gajah juga mengalami kecederaan parah ketika satu lagi usaha menyelamat semalam selepas ditendang oleh gajah itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA