Gajah liar bunuh pekerja ladang ditembak mati

Gajah liar bunuh pekerja ladang ditembak mati

TAWAU, 21 Nov – Gajah liar yang mengorbankan nyawa seorang pekerja ladang warga Indonesia di ladang kelapa sawit Dumpas dekat sini, ditembak mati oleh renjer Jabatan Hidupan Liar Sabah petang semalam.

Pengarahnya, Augustine Tuga berkata terdapat kemungkinan bahawa gajah berkenaan akan menyerang lagi sekiranya terserempak dengan sesiapa sahaja dalam laluannya.

“Gajah ini sudah pun membunuh manusia…kami tidak mahu mengambil sebarang risiko dengan gajah jantan ini.

“Kami mengesahkan gajah jantan ini berada di peringkat tertinggi aktiviti mengawan dan ia menjadi agresif ekoran peningkatan hormon testosteron dalam badannya, punca kepada tingkah laku ganas gajah itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pegawai di wilayah pantai timur juga berjaga-jaga dan memantau pergerakan kumpulan gajah di kawasan berkenaan serta memerhatikan kelakuan gajah lain dalam kumpulan itu.

Pada 19 November lepas, mangsa Ciin Bedu, 48, diserang kira-kira pukul 3 petang dan dipijak hingga mati oleh seekor gajah liar di kawasan ladang Dumpas, dekat sini.

Ketua Polis Tawau ACP Fadil Marsus berkata bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati tengkorak dan tulang mukanya retak serta rusuk kiri dan kanan mangsa juga patah selain cedera parah di beberapa bahagian badan. – Bernama