Gajah naik minyak bunuh 1 lelaki, cederakan rakannya

Gajah naik minyak bunuh 1 lelaki, cederakan rakannya

BANGKOK, 17 Jun (AFP) – Seekor gajah membunuh seorang lelaki Thailand berusia 28 tahun dan mencederakan rakan sekerja lelaki itu ketika mereka sedang makan malam di sebuah restoran tepi pantai di timur Thailand, menurut polis hari ini.

Kakitangan telekom tempatan itu meninggal dunia di hospital selepas gajah itu merodok bahagian dada lelaki itu dengan gadingnya ketika dia makan bersama rakan sekerjanya di bandar pantai Rayong lewat Isnin lalu.

“Mereka sedang bercakap dengan penggembala gajah tentang membeli makanan untuk gajah tersebut, tiba-tiba gajah itu merodok seorang lelaki di bahagian dada dengan gadingnya dan menendang seorang lagi,” polis tempatan Leftenan Thawat Nongsingha memberitahu AFP.

Prnggembala gajah itu didakwa dengan kesalahan termasuklah melanggar perundangan kebajikan haiwan dan kecuaian yang mengakibatkan kematian, menurut Thawat.

Dia menambah bahawa penggembala gajah itu telah dibebaskan daripada tahanan manakala gajah itu masih di bawah jagaannya.

Hukuman maksimum bagi kecuaian yang mengakibatkan kematian ialah 10 tahun penjara dan denda 20,000 baht.

Kira-kira 4,000 gajah dibela di Thailand melebihi jumlah kira-kira 2,500 yang masih hidup liar. Penangkapan gajah liar bagi kegunaan hiburan dilarang sama sekali.

Gajah yang dibela di Thailand yang mana binatang mamalia ini merupakan simbol kebangsaan telah digunakan bagi tujuan perniagaan pelancongan sejak kebanyakan tidak mempunyai pekerjaan dalam tahun 1989 apabila pembalakan ditegah.

Mereka ditegah dari memasuki kawasan bandar tetapi kejadian penggembala gajah menggunakan haiwan sebagai alat untuk mengemis adalah biasa, manakala gajah kerajaan kerap digunakan secara sah bagi hiburan para pelancong di khemah-khemah dan zoo.