Gaji tinggi cetus amaran kemelesetan di Singapura

Gaji tinggi cetus amaran kemelesetan di Singapura

SINGAPURA, 22 Ogos – Pemilik SaladStop, Adrien Desbaillets telah mengendurkan rancangan pengembangan untuk rantaian makanan organik di Singapura ekoran gaji tinggi yang memberi tekanan terhadap margin keuntungan tatkala negara itu bergelut dengan pertumbuhan yang rendah dan permintaan global yang berkurang.

Sebaliknya, Desbaillets sedang mengembangkan cawangan di Manila, Jakarta dan bandaraya mewah, Tokyo sebagai tanda membimbangkan bagi ekonomi Singapura yang kecil, terbuka.

Walaupun ekonomi Singapura dijangka berkembang antara satu hingga dua peratus untuk tahun ini, penganalisis berkata, tekanan kos gaji mencetuskan amaran terhadap kemelesetan.

Pada kadar kira-kira 43 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), walaupun di bawah 55 peratus kadar purata dunia, kos gaji di Singapura kini berada di tahap yang melebihi tempoh ketika kemelesetan pada tahun 1985, 1997 dan 2001.

Masalahnya ialah, gaji yang lebih tinggi menaikkan kos perniagaan tatkala Singapura yang berorientasikan eksport telah terjejas teruk oleh kelembapan Chin, perbelanjaan domestik yang lemah, kemerosotan dalam komoditi dan ketidaktentuan global berikutan undi Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

“Kami mungkin akan membuka dua atau tiga lagi cawangan di Singapura jika tidak kerana gaji yang tinggi … dan kami akan melaksanakan lebih banyak projek,” kata Desbaillets, yang rantaiannya mempunyai 15 cawangan di Singapura, lapan di Manila dan dijadual dibuka di Jakarta dan Tokyo pada bulan Oktober.

“Kami telah mampu untuk melindung nilai risiko kami sedikit dengan pengembangan kami di luar negara.” Desbaillets membayar kakitangannya di Singapura S$1,600 hingga S$3,200, berbanding S$300 hingga S$400 di Manila.

Perniagaannya semakin berkembang, tetapi peniaga lain yang kurang berkemampuan sedang bergelut. Ia termasuk majoriti 12,000 syarikat yang Presiden Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana, Kurt Wee, wakili. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA