Galak berbelanja di negara sendiri

Galak berbelanja di negara sendiri

SERING terdengar dalam corong radio setiap hari mengenai tawaran pelbagai agensi mengadakan pertandingan dan kejohanan yang menawarkan dan menyediakan hadiah berupa tiket penerbangan ke luar negeri di samping baucar kepada pemenang untuk membeli-belah di pasar raya dan gedung perniagaan seberang sempadan di negara jiran.

Secara tidak sedar, pemenang-pemenang hadiah ini akan berbelanja sakan di luar negeri dan menjadi punca wang negara keluar dan nilainya susut kerana menuruti nafsu dan fitrah mahukan barangan yang lebih murah.

Apakah yang telah dan sedang pihak berkenaan di negara kita lakukan untuk mengubah perkara ini?

Ada beberapa saranan yang boleh saya utarakan, bukan sahaja untuk menarik pelancong luar ke negara kita malah mengembalikan semula magis dalam pembangunan ekonomi negara yang memanfaatkan kita sebagai pengguna tempatan.

Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dengan adanya portfolio baru melalui Jabatan Pelancongan boleh saja memperkasakan hotel-hotel serta rumah tumpangan (homestay) di seluruh negara menawarkan pakej harga yang menarik dan diselit dengan promo membeli-belah di gedung-gedung perniagaan dalam negeri.

Kempen Brunei Salebration yang diadakan setiap tahun boleh dipanjangkan dari tempoh biasanya selama dua bulan hingga ke empat bulan dengan potongan harga yang kompetitif bagi menjana sikap membeli-belah dalam negara dan seterusnya menyemai sikap sayangkan negara kita dahulu kepada pengguna dan pembeli.

Para peniaga juga harus aktif dan proaktif memikirkan cara-cara terbaik bagi menarik pelanggan singgah dan membelibelah di premis mereka seperti mengadakan privilege membership, hadiah percutian tempatan dan sebagainya.

Sebarang promosi-promosi juga perlu disiarkan dan ditayangkan dalam radio, TV, Internet dan media sosial secara agresif dan konsisten bagi memastikan pendengar, penonton tempatan dan pengunjung luar yang singgah ke Brunei secara transit ataupun membuat lawatan, tertarik untuk mendapatkan produk atau sekurang-kurangnya cenderahati dari negara kita dengan harga yang berpatutan.

Insya Allah, ekonomi negara dijangka akan lebih dinamik dan produktif dan tidak seharusnya bergantung terus kepada minyak dan cecair gas asli semata-mata.

Dan negara harus proaktif dan berani menjadi tuan rumah kepada acara-acara serantau dan antarabangsa bagi mempromosi kewujudan negara di seantero dunia.

– Ugan Brunei, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA