Galak inovasi, tadbir urus baik

Galak inovasi, tadbir urus baik

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Sebanyak 159 penyertaan projek dari 11 kementerian telah diterima untuk mengikuti Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam (ACPA).

Daripada jumlah itu, sebanyak 24 penyertaan masing-masing diterima dari Kementerian Pembangunan dan Kementerian Perhubungan, 19 dari Kementerian Kesihatan, 18 dari Jabatan Perdana Menteri, 18 dari Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, 17 dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan 14 dari Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Selain itu, sembilan diterima dari Kementerian Pendidikan, tujuh dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, lima penyertaan dari Kementerian Kewangan dan empat penyertaan dari Kementerian Pertahanan, manakala itu, tiada penyertaan diterima dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Statistik ini dikongsikan oleh Pegawai Perkhidmatan Pengurusan Kanan, Dr. Rosdi bin Haji Abdul Aziz semasa menyampaikan taklimat dalam Jerayawara ACPA yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD), Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Serba Guna, Bangunan Bahirah di Jabatan Audit, JPM Jalan Menteri Besar, di sini, hari ini.

Siti Mariana (paling kiri) ketika menjelaskan tujuan program jerayawara dalam ucapan alu-aluannya, kelmarin.
Siti Mariana (paling kiri) ketika menjelaskan tujuan program jerayawara dalam ucapan alu-aluannya, kelmarin.
Antara mereka yang menghadiri program jerayawara ACPA, kelmarin.
Antara mereka yang menghadiri program jerayawara ACPA, kelmarin.

Semasa menyampaikan taklimat mengenai Pengenalan dan Pencapaian ACPA sejak penubuhannya pada tahun 1993, beliau menjelaskan, antara matlamat ACPA diadakan adalah untuk menggalakkan inovasi dan tadbir urus baik perkhidmatan awam, menghargai keunggulan/kecemerlangan dalam sektor awam dan memotivasi penjawat awam untuk lebih mempromosikan / menggalakkan inovasi.

Selain itu juga untuk meningkatkan profesionalisme dalam perkhidmatan awam, meningkatkan imej perkhidmatan awam, mengumpulkan dan menyebarkan praktis-praktis yang berjaya untuk dicontohi agensi-agensi sektor awam yang lain dan menggalakkan penyertaan orang awam dan swasta ke arah pembaikan dan pembaharuan perkhidmatan awam.

Semasa jerayawara hari ini, para jemputan juga telah mendengar pengalaman pemenang Emas ACPA 2014 iaitu Kumpulan Geoportal Ukur, yang telah dikongsikan oleh Juruukur Kanan dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, Dr. Hajah Norzamni binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh.

Diikuti dengan taklimat ketiga mengenai Garis Panduan Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Pengurusan 2016 yang disampaikan oleh Pemangku Pegawai Perkhidmatan Pengurusan Kanan, Dayang Sarilelawati binti Haji Mohd Yusof yang menerangkan lebih lanjut tentang beberapa perubahan terhadap Garis Panduan ACPA 2016 terutama sekali kepada kriteria dan ciri-ciri penilaian serta format penyediaan laporan dan borang penyertaan.

Jerayawara berkenaan, yang berlangsung selama tiga hari hingga 17 Februari ini dan dihadiri oleh wakil dari setiap kementerian, jabatan-jabatan kerajaan dan orang ramai, bertujuan untuk memberikan penerangan dan kefahaman termasuklah sebagai persediaan bagi kementerian dan jabatan, pihak swasta dan orang ramai yang ingin menyertai ACPA pada tahun ini.

Tahun ini merupakan kali ke-15 ia diadakan dan telah pun melalui evolusi perubahan termasuklah kategori anugerah dan syarat-syarat penyertaannya.

Penyertaan ACPA dibukakan kepada dua kategori iaitu Kertas Projek dan Kertas Cadangan, dengan Kertas Projek dibukakan kepada pegawai dan kakitangan kementerian dan jabatan dalam Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam Sahaja.

Sementara itu, kertas Cadangan dibukakan kepada semua pegawai dan kakitangan kementerian dan jabatan dalam Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam, pihak swasta dan orang ramai.

Semua kertas projek dan cadangan yang dicalonkan dalam penyertaan ini hendaklah memenuhi syarat-syarat seperti yang terkandung di dalam Garis Panduan ACPA 2016.

Penerangan lanjut mengenai ACPA boleh diperolehi dengan berhubung terus ke Jabatan Perkhidmatan Pengurusan, Jabatan Perdana Menteri, Bangunan Bahirah, Jalan Menteri Besar, Bandar Seri Begawan BB3910, Negara Brunei Darussalam, di talian 2382064 / 65 / 66 sambungan 523 / 550 / 553 atau faks ke talian 2382062 atau e-mel ke alamat info.msd@msd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA