Galak pelajar lelaki tonjol bakat

Galak pelajar lelaki tonjol bakat

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 19 April – Awang Muhammad Alif bin Abdullah dari Sekolah Rendah Sungai Liang dinobatkan sebagai juara bagi Peraduan Mari Bercerita Peringkat Daerah-daerah, dengan membawa pulang sebuah piala, sijil serta wang tunai $500, sekali gus mara ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada Mei nanti.

Naib johan disandang oleh Dayang Nur Fadhilah Fikriyah binti Latif dari Sekolah Misi St. Angela, Seria yang juga membawa pulang sebuah piala penyertaan, sijil dan wang tunai $400, manakala di tempat ketiga dengan menerima piala penyertaan, sijil serta wang tunai $300 dimiliki oleh Dayang Kamilah binti Mohd Akop dari Sekolah Rendah Ahmad Tajuddin, Kuala Belait.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Cawangan Kokurikulum Daerah Belait, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Haji Eady Sardi bin PDDS Dato Paduka Haji Abdul Razak.

Mengulas mengenai penglibatan pelajar perempuan dalam pertandingan tersebut, Haji Eady Sardi semasa ditemui Media Permata menasihatkan kepada pihak sekolah untuk mengadakan acara Peraduan Mari Bercerita mereka sendiri dengan memberi peluang tempat bagi pemenang murid lelaki dan murid perempuan untuk mewakili sekolah-sekolah mereka ke peringkat daerah-daerah dalam mewujudkan persaingan dan cabaran yang lebih seimbang.

Haji Eady Sardi menyampaikan hadiah kepada pemenang pertama Peraduan Mari Bercerita Peringkat Daerah-daerah.
Haji Eady Sardi menyampaikan hadiah kepada pemenang pertama Peraduan Mari Bercerita Peringkat Daerah-daerah.
Salah seorang peserta Peraduan Mari Bercerita menggayakan watak yang dibawanya.
Salah seorang peserta Peraduan Mari Bercerita menggayakan watak yang dibawanya.

“Saya tertanya-tanya mengapa di antara yang menyertai Peraduan Mari Bercerita ini adalah lebih ramai kalangan murid perempuan berbanding murid lelaki? Kemungkinan murid-murid lelaki merasa segan atau malu untuk berhadapan khalayak ramai untuk menunjukkan bakat mereka dan bercerita di atas pentas,” ujarnya semasa memberikan pendapat.

Justeru itu, beliau mencadangkan agar pihak sekolah akan mengadakan Peraduan Mari Bercerita dan memberi tempat perwakilan tersebut kepada dua orang murid lelaki dan perempuan agar ada keseimbangan dan juga bagi menggalakkan lebih ramai lagi penyertaan daripada murid lelaki.

Para ibu bapa juga, jelasnya lagi, boleh membantu membeli bahan buku bacaan yang sesuai untuk anak-anak lelaki mereka bagi membina keyakinan serta mengasah dan menunjukkan bakat-bakat bercerita mereka kepada orang ramai.

Seramai 10 peserta terbaik dari keempat-empat daerah nanti akan bertanding di peringkat negara yang akan diadakan pada 19 Mei nanti.

ARTIKEL YANG SAMA