Galak pelancong perubatan

Galak pelancong perubatan

Oleh Danial Norjidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Kedutaan Thailand sedang berusaha merangsang lebih banyak pelancongan perubatan dari Brunei memandangkan jumlah pelancong Brunei melawat Thailand bagi tujuan perkhidmatan perubatan semakin meningkat.

Duta Thailand ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Chirdchu Raktabutr (gambar) menekankan mengenai usaha itu ketika sesi bertemu media hari ini.

Menjawab soalan mengenai rancangan Kedutaan Thailand untuk pelancongan, Tuan Yang Terutama mengatakan mereka sedang mengkaji secara mendalam mengenai pelancongan perubatan bagi yang melancong ke Thailand bagi pemeriksaan susulan perubatan atau pembedahan.

“Kami mempunyai beberapa kemudahan perubatan terbaik dan kakitangan perubatan berkelayakan—doktor, jururawat dan kakitangan sokongan—di Asia Tenggara,” katanya.

Manakala Timbalan Ketua Misi, Siriporn Chaimongkol mengatakan, “Salah satu daripada kekuatan penjagaan perubatan Thai adalah kami memberi perhatian setulus hati. Ia bukan sahaja dalam bentuk penjagaan perubatan malahan penjagaan yang diberikan. Kakitangan yang menjaga anda melakukannya dengan penuh keikhlasan.”

pg01_150725_b

Dia juga menegaskan bahawa pelbagai bahasa digunakan oleh jururawat dan kakitangan perubatan di Thailand, bagi membantu pesakit dari seluruh dunia merasa lebih selesa.

Beliau juga mengatakan rakyat Brunei mudah membuat temu janji di kemudahan perubatan di Thailand kerana di sana banyak hospital. Beliau turut mengongsikan terdapat kes-kes dirujuk dari Brunei ke institusi perubatan Thai.

Namun tidak ada statistik tepat mengenai peningkatan jumlah warga dari Brunei ke Thailand untuk perkhidmatan perubatan, katanya.

Satu lagi perkara yang dibincangkan hari ini adalah jumlah orang Thailand bekerja di Brunei yang menurut Tuan Yang Terutama, merosot dan kini kurang daripada 200 orang. Pengurangan itu walau bagaimanapun tidak hanya berlaku di Brunei.

Ditanya sama ada ia adalah satu kebimbangan, Tuan Yang Terutama mengatakan, “Ya, bagi kami. Salah satu faktor adalah kerana buruh merupakan sumber eksport dari Thailand. Kami perlu mengkaji lebih mendalam mengenai punca kenapa mereka beralih dari sebuah negara ke negara lain dan jika ia kerana mereka mahu bekerja di dalam negara mereka sendiri kerana gaji minimum di Thailand kini lebih tinggi. Kami akan meneliti lebih lanjut lagi mengenainya.

Mengenai punca lain, Chaimongkol menjelaskan, “Dasar baru kerajaan Thailand adalah untuk mengeksport lebih ramai orang daripada peringkat teknikal, bukannya buruh. Ia mungkin salah satu puncanya. Fokus kini beralih daripada kuantiti kepada kualiti pekerja.”

Beliau menambah, “Pekerja buruh lebih suka bekerja di bandar asal mereka di mana keluarga mereka berada. Ini kerana, meskipun standard kehidupan agak baik di sini, mereka kesepian kerana mereka tidak boleh bercakap dalam bahasa mereka.”

Thailand juga menyuarakan hasrat untuk meluaskan kerjasama dalam bidang produk halal.

“Saya mahu melihat bagaimana kami boleh bekerjasama dengan Brunei dalam bidang produk halal,” kata Duta Thailand.

“Brunei amat mantap kedudukan dan diterima baik dalam pasaran halal dan kami akan melihat peluang bagi kerjasama di sini.

Tuan Yang Terutama juga mengongsikan perancangan Kedutaan Thailand untuk mengadakan Pameran Produk Halal Thailand pada 4-6 September di Times Square di mana mereka berharap dapat membawa sekurang-kurangnya 20 peniaga dari Thailand untuk mempamerkan pelbagai barangan halal, termasuk makanan, kosmetik dan produk herba.

Tuan Yang Terutama juga menekankan mengenai bidang kerjasama dalam agrikultur khususnya dalam pengeluaran beras. Awal tahun ini, Brunei dan Thailand menandatangani satu MoU mengenai kerjasama agrikultur.

Semasa menamatkan perbualan, Tuan Yang Terutama mengatakan, “Dari segi politik, kedua-dua negara mempunyai hubungan baik dari awal lagi, jadi kami berharap dapat mengekalkannya.”

ARTIKEL YANG SAMA