Galak pembangunan modal insan

Galak pembangunan modal insan

KOTA KINABALU, 2 Jun (Bernama) – Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman(MoU) bagi mewujudkan kerjasama membangunkan modal insan berkualiti menerusi sukan, pembangunan kerjaya, latihan serta pendidikan.

Pengerusi SLDB Datuk Abdul Rahim Ismail berkata MoU itu merupakan platformSLDB mendapat kepakaran dalam bidang tertentu termasuk motivasi dan teknikal menerusi penyediaan pensyarah serta pakar penyelidik daripada UiTM.

Ketika berucap pada majlis berkenaan, beliau berkata dengan termeterainyaMoU itu, bukan sahaja kakitangan SLDB memperoleh manfaat malah peneroka dan anakmereka juga akan merasai faedah hasil penganjuran pelbagai program pembangunan modal insan.

Dalam majlis menandatangani MoU itu, Abdul Rahim mewakili SLDB manakala Rektor UiTM Sabah Datuk Abdul Kadir Rosli mewakili UiTM dengan disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Abdul Rahim berkata UiTM juga dilihatboleh membantu menyediakan kepakaran terutama dalam bidang teknologi hiliran memandangkan SLDB berhasrat untuk mewujudkan teknologi itu di negeri ini.

“Kita akan wujudkan teknologi itu mungkin di Keningau seperti di Pandawan dan Nabawan kerana estet (kelapa sawit) banyak di sana,” katanya.

Abdul Rahim berkata kerajaan negeri memperuntukkan tanah seluas 4,047 hektar di Keningau kepada SLDB khusus untuk aktiviti hiliran dan tanaman kelapa sawit.

Sementara itu, Abdul Kadir berkata UiTM akan memastikan perancangan dalamMoU tersebut dapat direalisasikan termasuk menyediakan kepakaran dari universiti itu, yang memiliki kira-kira 9,000 pakar penyelidik dalam pelbagai bidang.