Galak penyusuan susu ibu

Galak penyusuan susu ibu

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 25 Ogos – Penyusuan susu ibu hendaklah dijadikan prioriti dalam pembuatan dasar, perancangan dan perbelanjaan awam kerana pada masa ini, kerajaan-kerajaan di seluruh dunia membuat belanjawan dan rancangan tindakan dalam melaksanakan Matlamat Pembangunan Mapan.

“Dalam hal ini, kita boleh mencapai kemajuan yang lebih cepat ke arah sasaran-sasaran perkembangan dengan mempromosi, melindungi dan menyokong penyusuan susu ibu dengan cara yang lebih baik.”

Perkara ini ditekankan oleh Penaung HAWA dan Presiden Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI), Datin Hajah Masni binti Haji Ali ketika menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Pengagihan Nursing Cover atau Kain Penutup Penyusuan Anak Damit di Bilik Seri Kenangan, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong, pagi tadi.

Penyusuan susu ibu sangat penting dalam perkembangan awal kanak-kanak iaitu dari segi perkembangan fizikal dan mental mereka, malah ia adalah sebagai pemangkin untuk peningkatan dalam produktiviti dan pendapatan masa depan hidup kanak-kanak itu sendiri.

Datin Hajah Masni mengatakan bahawa penyusuan susu ibu juga dapat meningkatkan tahap kesihatan jangka masa panjang, mengurangkan risiko terhadap penyakit-penyakit tidak berjangkit, asma, obesiti kanak-kanak dan penyakit alergi kepada susu lembu dan jangkitan dalam telinga (Ottis Media) yang boleh menjejaskan perkembangan kesihatan kanak-kanak.

Warga Persatuan HAWA dan WI bergambar ramai bersama pegawai dan kakitangan dari Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.
Warga Persatuan HAWA dan WI bergambar ramai bersama pegawai dan kakitangan dari Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.
Datin Hajah Masni menyampaikan kain penutup penyusuan anak damit kepada ibu-ibu yang terpilih.
Datin Hajah Masni menyampaikan kain penutup penyusuan anak damit kepada ibu-ibu yang terpilih.

Seramai 25 orang yang terdiri daripada ibu-ibu dan bakal ibu yang tinggal di Daerah Tutong telah menerima kain penutup penyusuan anak damit yang disampaikan oleh tetamu kehormat.

Majlis tersebut adalah untuk menyokong Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada tahun ini dan memberi galakan kepada amalan murni penyusuan susu ibu yang membawa berbagai-bagai kebaikan kepada kesihatan anak-anak damit khususnya.

Di samping itu, majlis juga memberi galakan dan sokongan kepada penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan dan meneruskannya sehingga anak berusia dua tahun di samping pengambilan makanan tambahan apabila anak damit mencecah usia enam bulan.

Dengan bertemakan ‘Penyusuan Susu Ibu: Kunci kepada Pembangunan Mapan’, kegiatan kemasyarakatan yang dijalankan oleh HAWA dan WI setiap Ogos pada minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia adalah membudayakan sifat pemedulian daripada pertubuhan bukan kerajaan dan sektor korporat bagi membolehkan amalan penyusuan susu ibu dapat dilaksanakan dengan penuh keselesaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Di-Pertua HAWA, Hajah Masni binti Haji Munir; Pegawai Eksekutif Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Dayang Rabiatul Adawiyah binti Haji Reduan; dan Pegawai Jururawat Ketua Pentadbiran Kejururawatan, Dayang Masrani binti Mohd Noor.

ARTIKEL YANG SAMA