Galak PKS ASEAN guna e-dagang

Galak PKS ASEAN guna e-dagang

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) – Perusahaan Kecil dan Sederhana ASEAN (PKS) perlu menggunakan e-dagang atau internet yang merupakan kaedah terbaik untuk meluaskan dagangan produk atau perkhidmatan.

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, Tan Sri Munir Majid berkata hanya satu peratus daripada perolehan dalam perniagaan runcit di ASEAN kini dilakukan menerusi Internet berbanding sembilan peratus di kebanyakan ekonomi maju.

Beliau berkata sektor itu berpotensi tumbuh jika e-dagang digunakan sebagai medium untuk menjalankan perniagaan.

“Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang perlu mereka tangani seperti memiliki sistem pembayaran e-dagang selain perkhidmatan logistik yang baik. E-dagang merupakan sesuatu yang perlu dibayar kerana ia memerlukan sistem standard bagi memudahkan industri peruncitan,” katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat ke-14 Pasukan Petugas Khas Pegawai Tinggi Kumpulan Kerja bagi Penyepaduan Ekonomi ASEAN pasca 2015, semalam.

Memandangkan PKS merupakan tulang belakang ekonomi negara, dengan mengambil kira 97 peratus penduduk yang bekerja di sesetengah negara, Munir berkata mereka perlu ada pelan konkrit dan mempertahankannya.

“Bayangkan jika ia tidak berjaya, apa akan jadi pada ekonomi, dan mereka (PKS) akan beralih keluar daripada proses penyepaduan ASEAN. Oleh itu kita mesti memastikan ini tidak berlaku,” katanya.

Beliau juga berkata PKS merasakan sebahagian besar impak penyusutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan getah, terutama dari tiga negara pengeluar terbesar: Indonesia, Malaysia and Thailand.

“Berikutan harga MSM dan getah yang rendah, sumbangan tiga negara ini kepada keluaran dalam negara kasar Asia secara kolektif menjelang 2025 akan lebih rendah.

Ramai yang berkata pengeksport (PKS) akan meraih manfaat apabila harga jatuh manakala pengimport pula merasakan kesakitannya, mungkin di ASEAN dan tempat lain.

Oleh itu negara terbabit perlu bersaing meskipun harga jatuh atau mata wang susut nilai,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA