Galak tingkat mutu bacaan Al-Quran

Galak tingkat mutu bacaan Al-Quran

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Seramai tujuh qari dan dua qariah daripada 13 qari dan dua qariah yang menyertai Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Zon dan Daerah Bagi Zon 2 Daerah Brunei dan Muara 1436H/2015M berjaya mara ke peringkat suku akhir kebangsaan setelah memperoleh markah 75 peratus dan ke atas.

Dalam pertandingan tahunan yang diadakan di Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan, hari ini, Haji Abdul Malik bin Haji Jumat muncul juara qari dengan markah 87 peratus, sementara Hajah Nurhapidzah binti Haji Hassan meraih gelaran johan qariah dengan 84 peratus markah.

Muncul naib juara qari ialah Awang Amzah bin Haji Jumat dengan 82.75 peratus, manakala Awangku Muhammad Hafizul Ilmi bin Pengiran Merzuki memenangi tempat ketiga dengan 81.29 peratus markah. Menyandang naib juara qariah pula ialah Hajah Norhayati binti Haji Ahmad dengan 80.5 peratus markah.

Empat orang lagi qari yang berjaya mara ke peringkat suku akhir kebangsaan ialah Awang Shahron bin Haji Yussof (80.75 peratus), Awang Muhammad Sani bin Haji Abdul Karim (80.75 peratus), Awang Rajali bin Haji Aji (79 peratus) dan Haji Anuar bin Penghulu Haji Ibrahim (75.5 peratus).

Yang Berhormat Haji Gapor @ Mohd Daud (tengah) ketika menyampaikan hadiah kepada juara qari, Haji Abdul Malik (kanan).
Yang Berhormat Haji Gapor @ Mohd Daud (tengah) ketika menyampaikan hadiah kepada juara qari, Haji Abdul Malik (kanan).
Juara qariah, Hajah Nurhapidzah ketika menerima piala daripada Yang Berhormat Haji Mohd Gapor.
Juara qariah, Hajah Nurhapidzah ketika menerima piala daripada Yang Berhormat Haji Mohd Gapor.

Menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang dan cenderahati kepada para peserta pertandingan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara merangkap Ketua Kampung Belimbing, Yang Berhormat Haji Mohd Gapor@ Haji Mohd Daud bin Karim.

Pertandingan bagi memilih wakil qari dan qariah Zon 2 Daerah Brunei dan Muara sekaligus memasuki peringkat suku akhir kebangsaan itu telah dikendalikan oleh Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara serta Ahli Jawatankuasa Masjid RPN Lambak Kanan.

Pertandingan juga merupakan galakan untuk menarik minat orang ramai dalam meningkatkan mutu bacaan Al-Quran, selain sebagai pendorong kepada mereka yang berbakat dalam seni pembacaan Al-Quran supaya mengasah bakat yang ada melalui pertandingan.

ARTIKEL YANG SAMA