Galakan dan sokongan melalui saluran yang betul

Galakan dan sokongan melalui saluran yang betul

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam (BBA) sentiasa memberikan galakan dan sokongan kepada mana-mana pasukan yang ingin menyertai mana-mana kejohanan di dalam dan luar negara.

BBA juga akan terus memberikan sokongan padu dalam mempertingkatkan mutu dan pencapaian sukan bola keranjang tempatan di peringkat domestik atau antarabangsa, namun perlu diingatkan bahawa setiap pasukan perlulah mengikuti prosedur dan garis pandu yang telah ditetapkan oleh persatuan.

Perkara tersebut antara yang ditegaskan oleh Ahli Jawatankuasa BBA di dalam sidang media yang berlangsung di Dewan Bola Keranjang Batu Bersurat yang dipengerusikan oleh Pengerusi BBA, Lim Ting Guan.

Menurut kenyataan persatuan itu, perkara berkenaan dijelaskan ekoran pendaftaran sebuah pasukan dari negara ini di dalam Kejohanan Liga Bola Keranjang Malaysia Timur (EBL) yang tidak mengikut tata pendaftaran seperti yang dihasratkan persatuan.

“Persatuan tidak menyekat mana-mana pasukan yang berhasrat untuk menyertai kejohanan besar, namun selaku persatuan induk kita bertanggungjawab untuk memastikan setiap penyertaan adalah melalui saluran yang betul,” ujar salah seorang jurucakap persatuan berkenaan.

Barisan Jawatankuasa Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam di dalam sidang media hari ini.
Barisan Jawatankuasa Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam di dalam sidang media hari ini.

Menurutnya bagi setiap penyertaan antarabangsa pihak penganjur perlu menulis surat kepada persatuan bagi tujuan pengiktirafan dan perkara itu telah dipraktikkan sejak sekian lama lagi dan akan diteruskan bagi kebajikan sukan bola keranjang di bumi Darussalam ini. Perkara ini telah pun dibincangkan bersama Jabatan Belia dan Sukan.

“Kita membuat garis pandu ini berdasarkan nasihat Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) dan pihak berkenaan telah banyak membantu kita dalam aspek kejurulatihan dan pengadil baik kursus atau mana-mana perkembangan terkini sukan dan kita wajar memenuhi garis pandu yang ditetapkan oleh mereka,” katanya lagi.

“Namun begitu persatuan tidak kejam dan tidak mengecam mana-mana pihak sebaliknya kami membukakan peluang kepada pihak berkenaan untuk menyalurkan persuratan kepada pihak persatuan bagi rundingan seterusnya,” tegas wakil persatuan BBA itu lagi.

Menurut BBA lagi, tiada sebarang tindakan akan dikenakan jika langkah yang sepatutnya ini dibuat dalam masa terdekat dan ia merupakan langkah terbaik bagi pihak yang berkenaan untuk mendapatkan pengiktirafan dalam penyertaan mereka di dalam liga berkenaan.

Selain daripada itu BBA turut mengalu-alukan persuratan rasmi dan sokongan daripada EBL dalam hal ini kerana perkara ini dibuat berdasarkan sistem yang ditetapkan di bawah Pendaftaran Persatuan dan Pertubuhan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

“Kami masih belum pasti kedudukan mereka dan masih keliru dengan matlamat penyertaan sama ada bagi mewakili negara atau hanya bagi pertubuhan mereka sendiri sahaja,” ujar BBA lagi.