Galakan terhadap para pelajar

Galakan terhadap para pelajar

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 8 Mac – Sekolah St. John telah meraikan kecemerlangan akademik para pelajarnya bagi tahun 2015 dengan mengadakan Majlis Anugerah Merit, baru-baru ini, sebagai menggalakkan lagi peningkatan kecemerlangan pelajar-pelajarnya di sini.

Pengetua Sekolah St. John, Dr. Teh Keng Watt semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu berkata, sekolah tersebut telah mencatatkan keputusan Peperiksaan PSR yang cemerlang dengan kejayaan enam orang pelajar yang mendapat A keseluruhan.

Manakala itu, lapan pelajar mendapat 4A, selain keputusan dalam Peperiksaan GCE Peringkat ‘O’ juga semakin meningkat maju, bilamana seorang pelajarnya berjaya mendapatkan tempat keempat teratas di seluruh negara, manakala dua orang pelajar lagi mencapai 9A dalam peperiksaan tersebut, tambahnya.

Majlis yang diadakan di dewan serba guna sekolah tersebut telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ kemudian lagu sekolah dengan diiringi oleh Band SJS String.

Dalam ucapannya itu, Dr. Teh Keng Watt juga berkata, selain pencapaian akademik, mereka juga menunjukkan peningkatan prestasi dalam aktiviti kokurikulum, yang turut diperlukan oleh kalangan pelajar untuk mempelbagaikan kebolehan dan kemahiran.

Antara pelajar Sekolah St. John yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan tahun 2015.
Antara pelajar Sekolah St. John yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan tahun 2015.

Menurutnya lagi, penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum boleh diambil kira bagi kemasukan ke tahap pembelajaran yang lebih tinggi.

Sehubungan itu katanya, sekolah mereka tidak pernah ketinggalan untuk bergiat aktif mengambil bahagian dalam pertandingan antara sekolah dan antarabangsa.

“Sekolah St. John juga pernah dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam Pertandingan Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) yang diadakan di Sri Lanka dan mendapat tempat keempat dalam Pertandingan PRYNSA, Children Chorus kita telah mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Nyanyian Patriotik Kebangsaan, sekolah ini telah mencapai yang ketujuh teratas dalam peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada tahun 2015,” katanya.

Beliau menekankan kejayaan pelajar-pelajar sekolah itu, juga adalah atas sokongan padu daripada pihak ibu bapa dan penjaga serta kerja tekun guru-guru sekolah.

Majlis telah menyaksikan penyampaian sijil dan piala kepada pelajar-pelajar yang cemerlang, selain sijil penganugerahan kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan PSR dan GCE Peringkat ‘O’, hadiah berupa piala dan sijil berserta wang tunai bagi meningkatkan lagi semangat dan kesungguhan para pelajar berkenaan. Di samping itu, majlis turut menyaksikan penyampaian sijil dan piala kepada peserta APICTA dan PRYNSA.

ARTIKEL YANG SAMA