Galas misi negara di Langkawi

Galas misi negara di Langkawi

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt – Kejohanan Piala Dunia Paintball tahun ini akan berlangsung di Pulau Langkawi, Malaysia bermula 29 Oktober sehingga 1 November 2015.

Semua benua akan diwakili oleh 20 pasukan kebangsaan masing-masing dan akan bertanding di padang Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri.

Bagi kali pertama, Pasukan Paintball Kebangsaan Brunei akan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

Mengiringi pasukan tersebut ialah Presiden Persatuan Persatuan Paintball Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PANTAS), Haji Ibrahim Kalili bin PD Haji Abdul Rahman dan Naib Presiden Pengiran Shahminan bin Pengiran Haji Abd Rahim serta Pengurus Operasi Paintball Arena Royal Brunei Technical Services (RBTS), Pengiran Saharuddin bin Pengiran Haji Tuah.

Pasukan Paintball Kebangsaan Brunei bergambar ramai sebelum berlepas ke Pulau Langkawi kelmarin.
Pasukan Paintball Kebangsaan Brunei bergambar ramai sebelum berlepas ke Pulau Langkawi kelmarin.

Selain itu, dua marsyal paintball bertauliah daripada Royal Brunei Technical Services (RBTS) iaitu Pengiran Saharuddin bin Pengiran Haji Tuah dan Mohd Nazib bin Haji Chuchu dijemput untuk menjadi marsyal dalam Piala Dunia Paintball Asia 2015, salah satu kejohanan paintball yang berprestij di rantau ini.

Kedua-dua mereka berasa teruja kerana ini memberi mereka peluang pendedahan untuk memantapkan lagi kemahiran mereka serta meraih pengalaman di peringkat antarabangsa sekali gus menyumbang secara signifikan ke atas pembangunan sukan paintball di Negara Brunei Darussalam.

Hadir untuk menyaksikan perlepasan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei hari ini ialah wakil daripada Pengurusan RBTS Paintball Arena, Hajah Kamariah binti Haji Masri dan Awang Muhd Syarmariza bin Haji Ali.