Galas misi negara

Galas misi negara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – “Menduduki dua tangga teratas kumpulan adalah sasaran kita dalam AFC/AFF Futsal Championship 2015, Bangkok, Thailand, namun berjaya menduduki tempat ketiga kumpulan pun boleh menjadi sagu hati terbaik pasukan.

“Laluan pasukan kita pastinya sukar kerana tiga pasukan sekumpulan dengan kita berada dalam kedudukan FIFA lebih tinggi berbanding kita, namun kita mengambil pendekatan untuk fokus satu ke satu perlawanan,” kongsi Ketua Jurulatih Skuad Futsal Brunei Darussalam, Azmanuddin bin Haji Gillen.

Rombongan Negara Brunei Darussalam ke Kejohanan Futsal AFC/AFF 2015 seramai 19 orang terdiri daripada 5 orang pegawai dan 14 orang pemain telah pun selamat tiba di Bangkok, Thailand hari ini selepas berlepas pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Hadir bagi mengucapkan selamat berjaya dan saranan nasihat kepada para pegawai dan pemain ialah Timbalan Presiden NFABD, Yang Dimuliakan Pehin Datu InderaSugara Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mohammad Yusof bin Abu Bakar dan Setiausaha Agung NFABD, Haji Mohd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani. Skuad negara diketuai oleh Pengurus Pasukan, Pengiran Muhd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Tiga orang lagi pegawai yang terlibat adalah Ediruslan bin Haji Samad (Penolong Jurulatih), Zaini bin Haji Abdul Sani (Medik) dan Mohd Khairuddin Sah bin Haji Abdul Halim (Kitman).

Skuad Brunei Darussalam ke Kejohanan Futsal AFF 2015 bersama-sama Timbalan Presiden NFABD (tengah) dan Setiausaha Agung NFABD, (tujuh, kanan).
Skuad Brunei Darussalam ke Kejohanan Futsal AFF 2015 bersama-sama Timbalan Presiden NFABD (tengah) dan Setiausaha Agung NFABD, (tujuh, kanan).

Para pemain pula diketuai oleh Maziri bin Maidin selaku Ketua Pasukan dan Faizul Jefry bin Haji Zaini selaku Timbalan Ketua Pasukan.

Dua orang penjaga gol yang dipertanggungjawabkan mengawal gawang pasukan negara ialah Muhammad Arib bin Haji Umar dan Muhammad Nabil bin Haji Maidin.

Sepuluh lagi pemain yang menggalas misi negara layak ke separuh akhir ialah Mohammad Rosdiny bin Haji Bunal, Mohammad Faiz bin Hasnan, Mohd Hazlantul Khairul Zaman bin Osman, Nur Yamin bin Haji Muhammad, Mohammad Nor Azizam bin Roslan, Awangku Muhammad Naqib bin Pengiran Timbang, Abdul Muiz bin Awang Shahrizan, Fakhri bin Haji Bangkul, Ahmad Afif As Ad bin Haji Ali dan Mohammad Arif bin Haji Eisa.

Pada kejohanan yang berlangsung di Arena Futsal Bangkok berkenaan, skuad futsal Tabuan akan bersaing dalam Kumpulan A bersama Thailand, Timor Leste, Malaysia dan Singapura, manakala bersaing dalam Kumpulan B ialah Australia, Vietnam, Laos, Myanmar dan Filipina.

Pasukan negara akan memulakan kempen menentang pasukan di ranking 64 dunia, Malaysia pada Khamis, 8 Oktober bermula pukul 7:00 malam.

ARTIKEL YANG SAMA