Galas tanggungjawab dengan penuh menyerlah

Galas tanggungjawab dengan penuh menyerlah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Dis – Ahli-ahli kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang baru dilantik diseru untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh menyerlah.

Mereka juga disarankan untuk memberikan tumpuan bagi memastikan perancangan adalah bertepatan dengan hasrat pihak universiti dan kerajaan dalam menjadikan UBD sebagai sebuah universiti terkemuka bertaraf dunia.

Seruan itu dibuat oleh Dekan Pelajar UBD, Awang Saidai bin Haji Hitam dalam Majlis Pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2014/2015 dan Pelantikan majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2015/2016 yang berlangsung di Pusat Pelajar, UBD, hari ini.

Awang Saidai juga seterusnya menerangkan bahawa seramai 17 ahli MPP yang baru bagi sesi 2015-2016 telah dilantik melalui pemilihan secara demokrasi, di mana para ahli MPP itu mewakili fakulti-fakulti yang ada di UBD.

Awang Saidai menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.
Awang Saidai menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.
Dayang Rubiah bergambar ramai dengan ahli-ahli MPP sesi 2014/2015 dan ahli-ahli MPP baru Sesi 2015/2016.
Dayang Rubiah bergambar ramai dengan ahli-ahli MPP sesi 2014/2015 dan ahli-ahli MPP baru Sesi 2015/2016.

Beliau berkata lagi, bagi memberikan pendedahan kepada ahli-ahli MPP yang baru itu, supaya mampu menjadi pemangkin dan mempunyai jati diri seorang pemimpin, mereka telah menghadiri siri kursus kepimpinan yang dibahagikan kepada dua sesi.

Pada sesi pertama, mereka didedahkan kepada tatacara dan etika sebagai pemimpin yang dikendalikan di UBD, manakala pada sesi kedua, kursus lebih tertumpu pada kegiatan-kegiatan fizikal yang dikendalikan di Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD).

“Secara umum, tujuan kursus-kursus, baik yang diadakan di kampus UBD dan di OBBD, Temburong tersebut dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kefahaman para ahli MPP baru ini terhadap konsep kepimpinan dan pengukuhan amalan kepimpinan organisasi atau persatuan.”

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan dan surat lantikan kepada para penerima ialah Pemangku Penolong Naib Canselor (Korporat dan Pentadbiran), Dayang Rubiah binti Haji Yacub, yang juga selaku Pendaftar dan Setiausaha UBD.

Di majlis berkenaan, Yang Di-Pertua MPP 2015/2016 yang baru dilantik, Awang Muhammad Khairuddin bin Ishak menegaskan, selaku ahli-ahli MPP yang baru dilantik, mereka harus bersama-sama berganding bahu dalam memajukan dan mengembangkan diri mereka dari   segi kepimpinan, jati diri serta berjuang untuk mencapai matlamat, visi dan misi UBD.

ARTIKEL YANG SAMA