Galeri Sanjungan Budi dirasmi

Galeri Sanjungan Budi dirasmi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Bersempena menyambut ulang tahun penubuhan yang ke-40 tahun, Pusat Tingkatan Enam Gadong / Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) telah merasmikan Galeri Sanjungan Budi di Bangunan Sains dan IT (S.I.T), kelmarin.

Perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus selaku tetamu kehormat.

Pemangku Pengetua Maktab Duli, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Halim dalam ucapannya berkata majlis itu merupakan kesinambungan bagi sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan maktab dan beberapa acara telah pun diungkayahkan antaranya, pertandingan mencipta logo menjelang 40 tahun, hari bahasa, pertandingan membuat klip dan banyak lagi.

Menyentuh mengenai dengan pencapaian maktab, beliau berkata, hampir setiap tahun Maktab Duli mampu melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan BC-GCE A Level yang bertaraf dunia dan di peringkat negara dalam banyak mata pelajaran.

Tetamu Kehormat ketika merasmikan Galeri Sanjungan Budi di Bangunan S.I.T, kelmarin.
Tetamu Kehormat ketika merasmikan Galeri Sanjungan Budi di Bangunan S.I.T, kelmarin.
Haji Abdul Rahim ketika bergambar ramai bersama warga Maktab Duli.
Haji Abdul Rahim ketika bergambar ramai bersama warga Maktab Duli.
Haji Abdul Rahim ketika dibawa menyaksikan galeri tersebut.
Haji Abdul Rahim ketika dibawa menyaksikan galeri tersebut.

Beliau melahirkan harapan bahawa dalam jangka masa panjang, generasi pelajar yang menjalani pengajian di sana akan sentiasa berada di barisan hadapan untuk membaharui pencapaian kecemerlangan.

Majlis berkenaan turut diselajurkan dengan Majlis Anugerah Cemerlang Kokurikulum Maktab Duli yang telah berlangsung di Auditorium, Maktab Duli.

Penyampaian sijil penghargaan wakil-wakil kelab maktab berkenaan telah disempurnakan oleh Hajah Monaliza.

Hajah Monaliza ketika menyampaikan sijil kepada ahli kelab CCA.
Hajah Monaliza ketika menyampaikan sijil kepada ahli kelab CCA.
Antara pelajar Maktab Duli yang hadir pada majlis itu.
Antara pelajar Maktab Duli yang hadir pada majlis itu.

Guru Kanan CCA, Dayangku Nor Hassimah binti Pengiran Daud semasa menyampaikan ucapannya menjelaskan bahawa penyertaan para pelajar dalam aktiviti kokurikulum (CCA) adalah sebagai pendokong kepada kurikulum sekolah yang dapat menyediakan pelbagai pengetahuan dan pengalaman serta pendedahan untuk perkembangan mental, minat, bakat, jasmani, rohani dan pembentukan nilai-nilai akhlak serta sosial yang positif bagi seseorang pelajar.

Di samping itu, penglibatan para pelajar dalam aktiviti seumpama ini akan mendedahkan mereka kepada pemikiran yang baik, kreatif dan inovatif yang mampu menjadikan para pelajar lebih berketerampilan dan lebih matang dalam menjalani kehidupannya.

Oleh yang demikian, kurikulum sekolah dan kegiatan-kegiatan kokurikulum hendaklah saling lengkap-melengkapi bagi mencapai pendidikan yang berkualiti.

Majlis berkenaan turut diserikan lagi dengan beberapa persembahan seperti nasyid dan silat.

ARTIKEL YANG SAMA