Gam tangan tanda protes parlimen

Gam tangan tanda protes parlimen

SYDNEY, 30 Nov – Para penunjuk perasaan yang menuntut penutupan kem tahanan pelarian luar pesisir mengganggu parlimen Australia hari ini dengan sebilangan mereka merekatkan tangan mereka dengan gam super pada rel di galeri awam.

Speaker Tony Smith menangguhkan masa bertanya soalan dalam apa yang menurut menteri kabinet Christoper Pyne adalah gangguan paling serius ke dalam parlimen dalam tempoh 20 tahun.

Kumpulan yang terdiri dari kira-kira 30 orang aktivis mula dengan bising berteriak tidak lama selepas sesi bermula, dengan menjerit ‘tutup kem’ dan ‘di mana lingkungan moral kamu’.

Sebilangan mereka merekatkan tangan mereka pada rel galeri tempat melihat awam ketika pihak keselamatan cuba mengalihkan mereka, dengan para pengawal menggunakan pembersih tangan untuk membantu melepaskan mereka dari rel, imej televisyen menunjukkan.

Mereka akhirnya dikeluarkan dari dewan, sebilangannya secara paksa.

Pegawai keselamatan membawa keluar para penunjuk perasaan yang melancar protes di parlimen Australia di Canberra, kelmarin. – AP
Pegawai keselamatan membawa keluar para penunjuk perasaan yang melancar protes di parlimen Australia di Canberra, kelmarin. – AP

Para pembantah, dari Whistleblowers Acitivist dan Citizens Alliance, berkata tahanan luar pesisir merupakan ‘keadaan darurat’.

“Penutupan Parlimen oleh @akaWACA #closethecamps #bringthemhere,” menurut gabungan akar umbi di Twitter.

Kumpulan sama menyerbu pentas dan memaksa Perdana Menteri Malcolm Turnbull berhenti bercakap ketika ucapan utama ekonomi pada Melbourne bulan Ogos lalu.

Canberra menghantar pencari suaka yang cuba sampai ke Australia melalui laut, ke pangkalan luar terpencil di Nauru dan Pulau Manus, Papua New Guinea, dengan keadaan kem tahanan itu secara meluas dikritik oleh penyokong-penyokong orang pelarian dan profesional perubatan.

Utusan khas PBB Francois Crepeau bulan ini berkata ‘pendekatan punitif’ Australia kepada pelarian telah mencemarkan rekod hak asasi kemanusiaannya ekoran misi 18 hari yang membawanya ke seluruh negara dan ke Nauru.

Kerajaan mempertahankan kedudukannya sebagai perlu untuk mengekang ramai penghijrahan orang dari Afghanistan yang dicengkam peperangan, Sri Lanka dan Timur Tengah, dengan ramai mati di lautan ketika dalam pelayaran berbahaya.

“Saya tertanya-tanya sama ada kami boleh meneruskan.. kami tidak boleh,” kata Smith dalam menjelaskan mengapa dia mengambil langkah luar biasa menangguhkan parlimen, yang disambung semula kira-kira 40 minit kemudian apabila para penunjuk perasaan dibawa pergi. – AFP