Gamalama letus abu, 886 orang dipindahkan

Gamalama letus abu, 886 orang dipindahkan

MALUKU UTARA, Indonesia, 19 Julai – Pentadbiran Ternate hari ini memindahkan sekurang-kurangnya 886 orang dari tiga buah kampung berhampiran Gunung Gamalama yang mula memuntahkan abunya sejak Sabtu lepas.

Datuk Bandar Ternate Burhan Abdurahman berkata di sini, kerajaan memindahkan 227 keluarga dengan sejumlah besar adalah kaum dewasa dan kanak-kanak.

“Pentadbiran Bandar Ternate mengutamakan warga emas dan kanak-kanak agar dipindahkan segera dari kawasan lingkungan Gunung Gamalama. Ini harap dapat mengelakkan mereka daripada terkena jangkitan penyakit akibat abu gunung berapi,” kata Burhan.

Pentadbiran giat memantau keadaan keselamatan rakyat di empat kawasan bandar Ternate selepas letusan gunung berkenaan. Menurut laporan, terdaoat empat buah kampung di sub-daerah di Pulau Ternate yang terjejas akibat letusan Gamalama seperti Takome, Loto, Togafo dan Afetaduma.

Pemandangan dari jauh gunung berapi Gamalama yang mengeluarkan letusan abu yang sehingga sekata ini menyebabkan 886 orang dari kawasan sekitarnya terpaksa dipindahkan.
Pemandangan dari jauh gunung berapi Gamalama yang mengeluarkan letusan abu yang sehingga sekata ini menyebabkan 886 orang dari kawasan sekitarnya terpaksa dipindahkan.

Burhan berkata pentadbiran tempatan sudah mengagihkan topeng muka dan mengerahkan trak pasukan pemadam untuk membersihkan jalan raya yang terjejas akibat debu gunung berapi.

Agensi Pengurangan Bencana Wilayah Ternate dan Maluku Utara juga menyediakan beberapa kenderaan di tiga kampung termasuk Loto, Togafo dan Takome untuk mengelakkan orang ramai daripada terkena aliran lava Gunung Gamalama.

Ketua Agensi Pengurangan Bencana Ternate, Hasyim Yusuf berkata pentadbiran itu menyediakan empat tempat perlindungan bagi mereka yang terjejas dengan letusan tersebut seperti di Ibu Pejabat Tentera Laut Indonesia Ternate, Dewan Pusat Kajian, Dewan Sekolah Vokasional dan Dewan Perkhidmatan Perikanan dan Maritim Ternate. – Agensi