Gamba Osaka juarai Piala Maharaja

Gamba Osaka juarai Piala Maharaja

TOKYO, 1 Jan (AFP) – Dua gol daripada penyerang kelahiran Brazil, Patric, membantu Gamba Osaka menewaskan Urawa Reds, sekali gus mengekalkan Piala Maharaja yang dimenangi mereka pada edisi lalu.

Patric membuka jaringan pada minit ke-32 selepas bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum Shinzo Koroki menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi rembatan kaki kiri daripada jarak dekat untuk kedudukan 1-1.

Patric kemudian menjaringkan gol kedua buat Gamba selepas menyambar masuk sepakan sudut Yasuhito Endo pada minit ke-53 dengan Endo nyaris menambah gol ketiga buat Gamba pada masa kecederaan menerusi sepakan percuma.

Dua gol daripada Patric itu sudah cukup buat Gamba merangkul Piala Maharaja kelima mereka selepas sekadar menjadi naib juara liga dan juga naib juara Piala Liga musim ini.

Gamba Osaka ketika menjulang Piala Maharaja apabila berjaya menewaskan Urawa Reds, kelmarin. – AFP
Gamba Osaka ketika menjulang Piala Maharaja apabila berjaya menewaskan Urawa Reds, kelmarin. – AFP

“Perlawanan menjadi semakin sukar di penghujung saingan dan saya berharap pemain dapat bertahan sehingga wisel penamat.

“Ini kali ketiga kami bernasib baik pada musim ini, namun saya percaya pemain dapat membalas kepercayaan yang diberikan penyokong selepas kecewa dalam beberapa pertandingan lain,” kata pengurus Gamba, Kenta Hasegawa.

Gamba tewas 4-3 menerusi dua aksi timbal balik ketika menentang Sanfrecce Hiroshima pada aksi final kejohanan Liga Jepun, selain tewas 3-0 di tangan Kashima Antlers pada perlawanan akhir Piala Liga Jepun.

Mereka juga berjaya mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Asia.

ARTIKEL YANG SAMA