Gameiro cerahkan peluang Sevilla ke final

Gameiro cerahkan peluang Sevilla ke final

MADRID, 5 Feb – Penyerang Perancis, Kevin Gameiro menyumbat dua gol dan terlepas satu penalti bagi meletakkan Sevilla sebelah kaki ke final Piala Raja Sepanyol selepas membelasah Celta Vigo 4-0 dalam aksi separuh akhir pertama, awal pagi tadi.

Sevilla berkemungkinan besar akan menentang Barcelona di final yang juga penampilan kelima kelab gergasi La Liga itu dalam tempoh enam musim selepas membenam Valencia 7-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Sevilla yang dibimbing Unai Emery sudah memenangi 12 perlawanan berturut-turut dalam aksi di tempat sendiri dalam semua kejohanan.

Apapun, Gameiro terlebih dulu berpeluang untuk menjaringkan gol selepas setengah jam perlawanan tetapi rembatannya berjaya diselamatkan Ruben Blanco.

Celta kemudian hampir memperoleh gol pembukaan apabila Sergi Gomez menanduk masuk bola tetapi terkena palang, namun usaha Pablo Hernandez untuk menyepak masuk bola yang melantun itu gagal apabila tersasar.

Bagaimanapun tekanan yang dilakukan Sevilla akhirnya diberi ganjaran di hujung babak pertama apabila Adil Rami berjaya menanduk masuk daripada sepakan sudut.

Gameiro kemudian menjaringkan dua gol pada tiga minit selepas rehat dengan kedua-dua jaringan dilakukan dengan melakukan larian pantas melepasi pertahanan Celta sebelum merembat melepasi Blanco.

Michael Krohn-Dehli melengkapkan kemenangan bergaya Sevilla dengan gol keempat menentang bekas pasukannya itu, tiga minit sebelum perlawanan berakhir. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA