Gameiro cetus kebangkitan Perancis

Gameiro cetus kebangkitan Perancis

PARIS, 9 Okt – Kevin Gameiro yang hampir lima tahun tidak beraksi di pentas antarabangsa melaungkan kepulangannya dengan meledak dua gol ketika menewaskan Bulgaria 4-1 dalam kempen kelayakan Piala Dunia kelmarin.

Pada aksi pertama di Stade de France sejak kekalahan pada final Euro 2016 di tangan Portugal Julai lalu, Perancis ketinggalan selepas penalti awal Mihail Aleksandrov – namun Gameiro, penyerang Atletico Madrid, kembali menyamakan kedudukan.

Dimitri Payet dan Antoine Griezmann memastikan kedudukan selesa buat tuan rumah sebelum rehat dan Gameiro menambah jaringan di babak kedua untuk kemenangan pertama Perancis dalam saingan peringkat Kumpulan A.

Perancis akan bertandang ke Belanda, yang turut merakam kemenangan 4-1 di laman sendiri ke atas Belarus awal pagi tadi, Isnin ini bagi meneruskan misi ke Piala Dunia 2018 di Russia.

Aksi Gameiro (kanan) ketika bersaing pada perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Bulgaria di Stadium Stade de France. – AFP
Aksi Gameiro (kanan) ketika bersaing pada perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Bulgaria di Stadium Stade de France. – AFP

“Ia adalah hari yang sempurna. Kami bertindak balas dengan baik dan terus meninggalkan mereka,” kata Gameiro yang kembali mendapat panggilan mewakili negara pada usia 29 tahun.

“Saya rasa amat bangga dan penuh dengan keghairahan (untuk mewakili negara). Kerja keras saya akhirnya membuahkan hasil.”

Pengendali Perancis, Didier Deschamps menurunkan Gameiro dalam kesebelasan utama yang menyaksikan lima pertukaran dilakukan ke atas skuad yang seri tanpa jaringan di Belarus pada aksi pembukaan sebulan lalu.

Kali pertama dan terakhir Gameiro menjaringkan gol bersama Perancis ialah dalam perlawanan persahabatan di Ukraine pada Jun 2011. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA