Gandakan amal ibadat

Gandakan amal ibadat

TEMBURONG, 25 Jun – Rombongan Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, meneruskan lagi Majlis Tadarus, Tahlil dan Doa Arwah sempena bulan Ramadan 1436H/2015M, dengan kali ini diadakan di Dewan Utama, Sekolah Rendah Rataie, Daerah Temburong.

Mengetuai rombongan berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut menyertai rombongan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail.

Hadir sama ialah Ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman; Pegawai Daerah Temburong, Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah; Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus; para pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pendidikan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin selaku ketua rombongan, kemudian disusuli dengan bacaan Tadarus Al-Quran Juz 8 yang didahului oleh Menteri Pendidikan, Timbalan Menteri Pendidikan, para pengarah, penolong pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan serta guru-guru dan para pelajar sekolah.

Antara para pelajar yang ikut sama menyertai Majlis Tadarus, Tahlil dan Doa Arwah di Dewan Utama Sekolah Rendah Rataie.
Antara para pelajar yang ikut sama menyertai Majlis Tadarus, Tahlil dan Doa Arwah di Dewan Utama Sekolah Rendah Rataie.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bersama para tetamu yang lain ketika sama-sama mengetuai Majlis Tadarus berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bersama para tetamu yang lain ketika sama-sama mengetuai Majlis Tadarus berkenaan.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, bacaan Al-Quran turut disertai seramai 40 orang pelajar dari Sekolah Menengah (SM) Sultan Hassan dan 30 orang pelajar dari Sekolah Rendah (SR) Rataie, Mukim Bokok.

Bacaan Surah Yasin dan tahlil telah dipimpin oleh Imam Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie, Haji Said Ahmad bin Haji Aliamat@Aliamad.

Majlis turut menyaksikan penyampaian alat Visualizer oleh Yang Berhormat Pehin kepada Pengetua SM Sultan Hassan, Awang Yusof bin Haji Mohamad, dan Guru Kanan SR Rataie, Haji Aslan bin Haji Rosli.

Menurut kenyataan itu, majlis ini antara lain bertujuan untuk menghidupkan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amal ibadat termasuk bertadarus Al-Quran di samping untuk mendapatkan ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah SWT.

Majlis yang merupakan aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan ini dikendalikan bersama oleh Jabatan Perkembangan Kurikulum, Bahagian Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan dan Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Negara Brunei Darussalam.

Terdahulu daripada itu Yang Berhormat Pehin dan rombongan telah mengadakan lawatan ke SR Rataie, di mana ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Guru Besar, Dayang Rohayati binti Haji Abdul Kadir.

Dalam lawatan berkenaan, Menteri Pendidikan dan rombongan telah mendengar taklimat ringkas mengenai profil sekolah dan inisiatif meningkatkan pencapaian keputusan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah yang telah disampaikan oleh Dayang Rohayati.

Seterusnya rombongan menyaksikan pembelajaran dan pengajaran yang berjalan di dalam kelas Tahun 6A, Pra A, Pra B dan Tahun 1.

Majlis Tadarus, Tahlil dan Doa Arwah sempena bulan Ramadan Kementerian Pendidikan ini akan diteruskan lagi pada 26 Jun 2015 di kediaman Menteri Pendidikan.

ARTIKEL YANG SAMA