Ganding bahu banteras jenayah

Ganding bahu banteras jenayah

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Dalam sama-sama menjaga keamanan dan kampung dan mempergiatkan usaha membanteras jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei terus mengadakan operasi cegah jenayah bersama ahli-ahli pengawasan kejiranan (PK) di seluruh negara, baru-baru ini.

Antara yang terlibat dalam operasi tersebut ialah anggota Balai Polis Kampong Ayer yang turut dibantu oleh anggota Daerah Polis Brunei dan Muara serta ahli PK Kampung (Kg) Pudak dengan taklimat operasi diadakan di Masjid Kg Pudak.

Rondaan yang bermula jam 10 malam itu telah diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Pusat INSP Muhammad Marzuqi Koo bin Abdullah dan dihadiri sama oleh Pemangku Ketua Kg Pudak, Awang Shahri bin Haji Durahim.

Semasa operasi, dua kumpulan telah dibahagikan bagi menjalankan rondaan berjalan kaki di sepanjang jalan titian jambatan dan darat dan kumpulan yang menggunakan perahu Polis Marin bagi pemantauan di perairan Sungai Brunei berhadapan Kg Pudak.

Sementara itu, anggota Balai Polis Muara bersama ahli PK Kg Panchor Mengkubau, Mukim Mentiri turut mengadakan operasi rondaan yang dihadiri oleh Timbalan Pengerusi PK Kg Panchor Mengkubau, Awang Mohammad Hilmy bin Haji Ahmad.

Operasi rondaan turut dijalankan di kawasan tapak Projek Jambatan Temburong di kawasan Mukim Labu.
Operasi rondaan turut dijalankan di kawasan tapak Projek Jambatan Temburong di kawasan Mukim Labu.

Rondaan dijalankan secara berbasikal dan kereta meliputi kawasan Kg Bukit Sinadur, Kg Bukit Bintagur, Kg Bukit Pandayan, Kg Sg Cerana dan Kg Tanjung Selasih.

Manakala, ahli PK Kg Junjungan dengan kerjasama anggota Balai Polis Limau Manis, anggota Daerah Polis Brunei dan Muara dan ahli PK Kg Junjungan telah mengadakan operasi serupa selama kira-kira tiga jam bermula 10 malam.

Hadir mengetuai rondaan tersebut ialah Pegawai Menguasa Balai Polis Limau Manis INSP Abdul Sahrimin bin Abdul Rahman bersama Ketua Kg Junjungan, Haji Tahir bin Haji Jaya.

Rondaan menggunakan kenderaan polis juga dibahagikan kepada dua kumpulan dengan memantau di seluruh kawasan di bawah Mukim Pengkalan Batu.

Semasa rondaan di kawasan Kg Bebuloh, sebuah kereta telah ditahan dan setelah pemeriksaan dijalankan tidak ada sebarang kesalahan yang melibatkan jenayah didapati.

Operasi seumpamanya turut dijalankan oleh Balai Polis Pusat bersama ahli PK Kg Rimba, Mukim Gadong ‘A’ dengan taklimat operasi diadakan di kediaman Ketua Kg Rimba, Awang Puspa Wira bin Haji Mohd Noor.

Sebelum rondaan dijalankan, acara penyerahan buku panduan pengawasan kejiranan turut disampaikan oleh ketua kg kepada ahli PK.

Rondaan bermula pada jam 10:20 malam dengan menggunakan dua buah kenderaan polis bermula dari kediaman ketua kampung dan membuat pemantauan di sekitar kawasan perumahan, kompleks perniagaan Rimba dan bangunan kerajaan yang sering dijadikan tempat melepak.

Sementara itu, di Daerah Temburong, Daerah Polis Temburong, telah menjalankan operasi pencegahan jenayah dengan gandingan Unit Pengawasan Kejiranan Balai Polis Bangar, Ibu Pejabat Daerah Polis Temburong dan tiga kumpulan PK yang ada di bawah tadahan Mukim Labu.

Operasi yang bermula jam 9 pagi itu telah diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Bangar, ASP Pengiran Anak Haji Azanuddin Aman Shah bin Pengiran Anak Ismail Al-Haj.

Turut sama dalam operasi tersebut ialah Penghulu Mukim Labu, merangkap Ketua Kg Piasau-Piasau selaku Penasihat PK dan Pengerusi PK Piasau-Piasau, Haji Abdurahman bin Haji Nasir; Ketua Kg Labu Estate selaku Pengerusi PK Labu Estate, Haji Sulaiman bin Haji Nasir; dan Ketua Kg Senukoh selaku Pengerusi PK Senukoh, Awang Yusof bin Haji Maidin.

Rondaan selama dua jam lebih itu dijalankan di sepanjang perairan Sungai Labu hingga ke kawasan tapak Projek Jambatan Temburong di Kg Labu Estate.

Kesemua rondaan yang dijalankan tersebut tidak mendapati sebarang aktiviti jenayah.

ARTIKEL YANG SAMA