Ganding bahu jaga keamanan kampung

Ganding bahu jaga keamanan kampung

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Skim Pengawasan Kejiranan ditubuhkan dengan tujuan untuk menanamkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang kepentingan untuk sama-sama bertanggungjawab menjaga keamanan dan kestabilan negara yang mana ahli jawatankuasa pengawasan kejiranan antara lain berperanan memberikan bantuan dan kerjasama kepada pihak Daerah Polis dan Balai Polis.

Dengan tujuan ini, Pasukan Polis Diraja Brunei kerap menjalankan rondaan pencegahan jenayah bersama ahli-ahli pengawasan kejiranan di bawah jagaan balai-balai polis di negara ini.

Baru-baru ini, Balai Polis Berakas bersama Pengawasan Kejiranan Kampung Pancha Delima, Kampung Anggerek Desa dan Kampung Orang Kaya Besar Imas, telah mengadakan rondaan di kawasan kampung-kampung berkenaan dengan melibatkan 11 anggota polis dan 21 penduduk kampung.

Sebelum rondaan dimulakan kira-kira pukul 9 malam 10 September lalu, ahli-ahli pengawasan kejiranan dan penduduk kampung telah mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pemangku Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas, Penolong Penguasa Polis Norkhatijah binti Haji Zainal yang diadakan di kediaman Ketua Kampung Pancha Delima/Anggerek Desa yang juga memangku Ketua Kampung Orang Kaya Besar Imas/Pulaie, Haji Zulkifli bin Haji Awang Ya’akub.

Anggota Balai Polis Berakas menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk Kampung Anggerek Desa yang menjadi mangsa kebakaran rumah.
Anggota Balai Polis Berakas menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk Kampung Anggerek Desa yang menjadi mangsa kebakaran rumah.
Gambar ramai anggota Balai Polis Berakas dan ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Pancha Delima, Kampung Anggerek Desa dan Kampung Orang Kaya Besar Imas sebelum memulakan rondaan.
Gambar ramai anggota Balai Polis Berakas dan ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Pancha Delima, Kampung Anggerek Desa dan Kampung Orang Kaya Besar Imas sebelum memulakan rondaan.

Pada majlis itu juga, Balai Polis Berakas telah menyumbangkan derma kepada salah seorang penduduk Kampung Anggerek Desa yang menjadi mangsa kebakaran rumah.

Manakala itu, pada 12 September, rondaan seumpamanya juga telah dijalankan oleh Balai Polis Muara bersama Pengawasan Kejiranan Kampung Mentiri dan Daerah Polis Tutong bersama Pengawasan Kejiranan Kampung Bukit Beruang.

Rondaan di Kampung Mentiri yang melibatkan 18 anggota polis dan 38 ahli pengawasan kejiranan dan di Kampung Bukit Beruang dengan melibatkan 18 anggota polis dan lapan penduduk kampung itu juga telah dimulakan dengan taklimat mengenai situasi jenayah di kampung masing-masing.

Anggota Balai Polis Muara menjalankan rondaan pencegahan jenayah bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Mentiri.
Anggota Balai Polis Muara menjalankan rondaan pencegahan jenayah bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Mentiri.
Bacaan doa sebelum rondaan pencegahan jenayah Daerah Polis Tutong bersama Pengawasan Kejiranan Kampung Bukit Beruang.
Bacaan doa sebelum rondaan pencegahan jenayah Daerah Polis Tutong bersama Pengawasan Kejiranan Kampung Bukit Beruang.

Selain menjalankan rondaan pencegahan jenayah bersama anggota polis, ahli-ahli pengawasan kejiranan juga memberikan bantuan jika berlaku kejadian di kampung mereka seperti yang dilakukan oleh ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Sungai Liang, baru-baru ini.

Pada 10 September lalu, kes mengenai seorang warga asing, 65, yang tersesat di laut akibat cuaca berjerebu dan perahunya kehabisan minyak, telah dilaporkan di Balai Polis Sungai Liang

Perahunya telah dijumpai terapung-apung di Pantai Sungai Liang dan pihak ambulans telah pun dihubungi untuk memberikan rawatan.

Pemangku Ketua Kampung Sungai Liang, Haji Mohd Ibrahim bin Dato Maharaja Setia Dian telah dihubungi dan beliau bersama ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Sungai Liang telah memberikan bantuan untuk menunda perahu itu balik menuju ke Balai Polis Sungai Liang.

Dalam pada itu, bagi memberi pendedahan dan pengetahuan kepada penduduk kampung khasnya ahli-ahli pengawasan kejiranan, lawatan-lawatan kerja bersama anggota polis juga sering diadakan.

Gambar ramai semasa lawatan kerja Balai Polis Sengkurong bersama Pengawasan Kejiranan Kampung Sengkurong B, Kampung Lugu dan Kampung Kulapis ke Balai Polis Labi.
Gambar ramai semasa lawatan kerja Balai Polis Sengkurong bersama Pengawasan Kejiranan Kampung Sengkurong B, Kampung Lugu dan Kampung Kulapis ke Balai Polis Labi.
Anggota Balai Polis Sengkurong dan ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Sengkurong B, Kampung Lugu dan Kampung Kulapis turut mengadakan lawatan ke rumah panjang.
Anggota Balai Polis Sengkurong dan ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Sengkurong B, Kampung Lugu dan Kampung Kulapis turut mengadakan lawatan ke rumah panjang.

Pada 12 September lalu, rombongan seramai 15 ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Sengkurong B, Kampung Lugu dan Kampung Kulapis bersama 15 anggota Balai Polis Sengkurong telah mengadakan lawatan kerja ke Balai Polis Labi yang diselajurkan dengan lawatan ke Rumah Panjang Mendaram Besar.

Rombongan yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Sengkurong, Inspektor Kanan Alfie Wayne Boyd itu, turut disertai Penghulu Mukim Sengkurong/Pemangku Ketua Kampung Sengkurong B, Haji Musa bin Haji Tahir @ Haji Siti, Ketua Kampung Lugu/Katimahar, Awang Salim bin Adi dan Ketua Kampung Kulapis, Haji Timur bin Haji Limbang.

ARTIKEL YANG SAMA