Ganding bahu jayakan majlis

Ganding bahu jayakan majlis

Oleh Mohamad Asyramisyanie, Imelda Groves HA, Sim Y.H. & Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Melentur buluh biarlah daripada rebungnya, itulah ungkapan mudah yang dinyatakan guru pengiring Kumpulan Koir yang terlibat dalam menjayakan Majlis Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Brunei dan Muara di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, hari ini.

Hajah Noorlelawaty binti Haji Mohd Yassin dari Sekolah Menengah Berakas ketika ditemui berkata perasaan letih sudah menjadi asam garam untuk menjayakan sesebuah persembahan dan tanpa letih pasti persembahan akan kekok dan tidak bertenaga.

“Kami mula berlatih sejurus sesi persekolahan dibuka selepas cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dan sudah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan persembahan berjalan lancar dan jaya bagi menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke majlis hari ini,” ujarnya.

Beliau turut memuji semangat pelajar yang terlibat di majlis itu kerana tidak pernah luntur semangat dan tidak puah untuk berhadapan apa jua cabaran pada hari sebenar persembahan hari ini.

“Kami mewakili seluruh warga sekolah menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas keberangkatan ke majlis hari ini dan mendoakan semoga Baginda akan terus kekal karar memerintah di atas takhta, Dirgahayu Kebawah Duli Tuan Patik,” ujarnya mengakhiri temu bual bersama Media Permata.

Pasukan Koir Sekolah Menengah Berakas tetap bersemangat dalam menjayakan Sambutan Persembahan Hari Keputeraan Baginda Sultan.
Pasukan Koir Sekolah Menengah Berakas tetap bersemangat dalam menjayakan Sambutan Persembahan Hari Keputeraan Baginda Sultan.
Wakil daripada UBD yang terlibat sama dalam mencurah bakti dan keringat dalam persembahan itu.
Wakil daripada UBD yang terlibat sama dalam mencurah bakti dan keringat dalam persembahan itu.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kegiatan Luar, Bahagian Kebudayaan Universiti Brunei Darussalam (UBD), Haji Mohammad Ramli bin Haji Jumat bagi mewakili para peserta UBD pula berkata tanggapan acara seperti ini membuang masa dan meletihkan perlu dikikis kerana ini adalah satu-satunya cara untuk membuktikan rasa cinta selaku rakyat negara ini kehadapan majlis Baginda Sultan dan kerabat diraja lainnya.

“Mungkin sahaja sebahagian daripada kita tidak dan belum mampu untuk mencurah bakti setia melalui kerja dan perkhidmatan dan melalui acara seperti ini sekurang-kurangnya kita akan lebih bersikap progresif untuk terus mencurah bakti dan keringat memajukan negara di masa akan datang,” jelasnya.

Mengulas mengenai persembahan tahun ini, katanya ia banyak menggabungkan seni budaya dan perubahan masa yang menjadikannya unik dan bersifat kontemporari.

“Meskipun ada elemen balada namun budaya dan seni masih diterapkan bagi memastikan konsep persembahan masih bercorak keBruneian dan kenegaraan, dan pada saya syabas saya ucapkan,” ujarnya lagi.

Seorang lagi belia yang turut serta menjayakan majlis hari ini, yang merupakan salah seorang pemimpin kumpulan koir Awang Suhaimi bin Haji Abdul Rahman bersama Pengiran Haji Mohd Shahremi bin Pengiran Haji Mohd Salleh menyatakan semangat dan ketekunan para peserta bagi menjayakan majlis hari ini perlu diberikan pujian.

“Ibu bapa dan guru serta seluruh warga penganjur telah membuat kerja yang sebaik mungkin bagi memastikan kelancaran majlis dan kejayaan persembahan hari ini,” ujarnya kepada Media Permata.

Dalam kesempatan itu, beliau mewakili seluruh kumpulan koir mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana kepercayaan yang diberikan kepada mereka dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas keberangkatan Baginda dan mendoakan semoga Baginda dilanjutkan usia dan dilindungi Allah SWT sebelum melaungkan “Daulat Kebawah Duli Tuan Patik”.

ARTIKEL YANG SAMA