Ganding bahu tangani bencana

Ganding bahu tangani bencana

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Mukim Sengkurong telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Sukarelawan Mukim Sengkurong (SUMUS) ke arah memastikan kesejahteraan penduduk kampung terutama sekali bagi membantu penghulu dan ketua kampung dalam menangani masalah bencana alam.

Pelancaran SUMUS berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong, hari ini disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Awang Misle dalam ucapannya menyambut baik penubuhan SUMUS yang menurutnya merupakan satu platform kepada anak-anak buah mukim untuk sama-sama secara sukarela mengambil inisiatif menyumbang buah fikiran, tenaga, waktu dan kewangan bagi memastikan kesejahteraan penduduk Mukim Sengkurong khasnya kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Selain daripada untuk menjalinkan jaringan dengan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ia juga ditubuhkan bertujuan untuk sama-sama berganding bahu dalam menangani pelbagai bencana alam di mukim berkenaan.

Menurut beliau, jenis bantuan bukan sahaja bersifat kerahan tenaga semasa bencana atau sumber kewangan tetapi bantuan yang bersifat keprihatinan dan keperluan sokongan psikologi atau bantuan sokongan mobiliti warga emas dan berkeperluan khas.

Awang Misle menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penyumbang.
Awang Misle menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penyumbang.

Antara para sukarelawan yang menghadiri majlis pelancaran SUMUS kelmarin.
Antara para sukarelawan yang menghadiri majlis pelancaran SUMUS kelmarin.

“Sukarelawan tidak dibayar bukan kerana mereka tidak berharga tapi mereka adalah insan yang tidak ternilai harganya walaupun sekecil zarah sumbangan kudrat atau pemberian mereka amat besar impaknya kepada kehidupan bermasyarakat,” tegasnya.

Beliau turut menasihatkan bahawa tatacara atau prosedur melaksanakan kerja semasa kejadian bencana perlu mengikut garis pandu atau nasihat dari agensi kecemasan supaya keselamatan ahli terjamin.

“Sukarelawan bertindak sebagai tenaga sokongan dan bukan sebagai pengganti ahli kecemasan seperti ahli bomba dan penyelamat, polis dan mana-mana pegawai agensi kerajaan yang mempunyai kepakaran khusus dalam menangani bencana,” tambahnya lagi.

Awang Misle berkata, penubuhan sukarelawan seumpama ini secara tidak langsung akan dapat memudahkan pengurusan kedua-dua jawatankuasa iaitu Pengurusan Bencana Daerah Brunei dan Muara dengan Pengerusi Siasatan Bantuan Perumahan bagi Daerah Brunei dan Muara untuk memberikan perkhidmatan yang diperlukan.

“Ini termasuk dalam bidang kebajikan, pemulihan, pembangunan, pendidikan, keselamatan, kesihatan, pemuliharaan alam sekitar dan lainnya,” tambah beliau.

Dayang Nurmaizzahtul
Dayang Nurmaizzahtul
Awang Mohamad Waie Izzat
Awang Mohamad Waie Izzat

Pada majlis tersebut, Awang Misle turut menyampaikan sijil penghargaan kepada penyumbang SUMUS dan seterusnya menyaksikan tayangan slaid yang menunjukkan aktiviti dan kerja kemasyarakatan yang dilaksanakan SUMUS sebelum ini.

Salah seorang belia sukarelawan SUMUS, Mohammad Waie Izzat bin Kamal, 16, yang berasal dari Kampung Bebatik Kulapis ketika ditemu bual menjelaskan bahawa penglibatan dalam sukarelawan ini merupakan yang pertama kali setelah mendapat sokongan daripada kawan-kawan.

“Dengan penyertaan dalam SUMUS ini, saya dapat menimba ilmu seterusnya menabur bakti kepada masyarakat yang memerlukan di samping menjadi contoh kepada adik-beradik yang lain”, tambahnya lagi.

Sementara itu, bagi Dayang Nurmaizzahtul binti Haji Ramzuzzaman yang sebelum ini pernah mengikuti Program Khidmat Bakti Negara(PKBN), melahirkan harapan penglibatan seumpama ini dapat membuka mata para belia untuk sama-sama menyumbang bakti kepada masyarakat, seterusnya dapat meningkatkan penglibatan diri dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Dengan pelancaran SUMUS ini, seramai 110 orang telah menjadi ahli sukarelawan SUMUS.

ARTIKEL YANG SAMA