Gangguan perkhidmatan TelBru di Temburong

Gangguan perkhidmatan TelBru di Temburong

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Nov – Dalam usahanya untuk menyokong pelan pembangunan berterusan Brunei di Daerah Temburong, Telekom Brunei Berhad (TelBru) akan melaksanakan kerja-kerja peralihan di beberapa kawasan dalam tempoh tiga hari bermula 19 November.

TelBru dalam kenyataannya, hari ini, memaklumkan bahawa kerja-kerja yang akan membolehkan pembaikan kabel-kabel di sekitar kawasan Mukim Bangar itu dijadualkan dilaksanakan dalam tempoh sembilan jam dari jam 9 malam hingga 6 pagi, sehingga 21 November.

Kerja-kerja berkenaan akan menjejaskan pelanggan-pelanggan perkhidmatan telefon dan Internet, menurut kenyataan itu lagi.

Menurut TelBru, kerja-kerja berkenaan adalah bagi membantu projek Pelan Pelencongan Trafik Jabatan Kerja Raya (JKR) di Pekan Bangar bagi kerja-kerja saluran pembetungan.

Kawasan-kawasan yang terjejas adalah Kampung Menengah, Kampung Sungai Tanit, Kampung Sungai Tanam, Kampung Seri Tanjong Belayang Jalan Kastam Lama dan Mukim Bangar.

Sehubungan itu, TelBru dalam kenyataannya memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku disebabkan perkara berkenaan. Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 111.

ARTIKEL YANG SAMA