Gangguan SMS keputusan peperiksaan

Gangguan SMS keputusan peperiksaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Kementerian Pendidikan telah mengambil maklum mengenai situasi teknikal yang dihadapi sesetengah pengguna dalam penerimaan pesanan ringkas keputusan peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘A’, ‘AS’, ‘O’ level dan IGCSE Oktober/November 2015 melalui pesanan ringkas (SMS).

Sehubungan itu, pihak kementerian telah dimaklumkan oleh pihak pembekal bahawa mana-mana pengguna yang telah mendaftar tetapi menerima pesanan keputusan yang kosong tidak akan dikenakan sebarang caj.

Manakala itu, pengguna yang menerima teks keputusan kosong dan mendapati telah dikenakan bayaran perkhidmatan, maka caj perkhidmatan akan dikembalikan (reimburse).

Kementerian Pendidikan, dalam kenyataannya hari ini, amat menyesali situasi teknikal yang telah dihadapi dan sedang bekerjasama dengan pihak pembekal perkhidmatan bagi memastikan perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang.

Kementerian juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas kefahaman orang ramai dalam perkara ini khasnya para pengguna yang menggunakan perkhidmatan keputusan melalui SMS tersebut.

Turut dimaklumkan bahawa berbeza daripada sebelumnya, keputusan peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘A’, ‘AS’, ‘O’ level dan IGCSE Oktober/November 2015 dikeluarkan secara berperingkat-peringkat.

Keputusan peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E ‘A’ dan ‘AS’ level Oktober/November telah dikeluarkan pada 27 Januari 2016 manakala Keputusan peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E ‘O’ level dan IGCSE Oktober/November 2015 akan dikeluarkan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

ARTIKEL YANG SAMA